Saturday, December 31, 2011

2012 = 5

Tahun 2012 menjelang tiba. Ramai anak muda menunggu saat itu.Detik 12.00 tengah malam akan bergema dengan laungan kegembiraan dan percikan bunga api. Sorak sorai di sana-sini. Pekan kecil dan bandar besar menyambut ketibaan detik itu. Siaran langsung melalui kaca televisyen terus menghiasi sambutan tahun baru 2012.
   Aku dan isteri masih bersama komputer riba masing-masing.Aku asyik menaip cerpenterpen dan isteriku sedang menaip tovheadcount. Lima anakku adalah anugerah Ilahi.Yong baru pulang ke Putrajaya bersama anaknya dengan menaiki keretapi laju pagi tadi. Suaminya tiada cuti menunggu di KL Central untuk mengambil mereka untuk di bawa ke Putrajaya.Angah masih belajar di tahun akhir di Uitm Shah Alam. Abang juga baru ku hantar bersama Yong pagi tadi tetapi arahnya menghala ke utara dengan menaiki bas.Kini abang di tahun dua belajar di Uitm Arau Perlis. Anak keempatku abang cik masih bercuti di rumah. Dia belajar di MRSM Taiping. Tahun 2012 naik ke tingkatan lima.Anak yang bongsu merupakan anak kelima juga masih bercuti di rumah dan belajar di MRSM Gerik.Tahun 2012 adik akan belajar di tingkatan dua. Siang tadi mereka belajar tuisyen di sebuah pusat tuisyen di bandar Diraja Kuala Kangsar bagi persiapan 2012.
   Harapan ku 2012 = 5 adalah kepada kelima-lima anakku akan  cemerlang dalam meneruskan perjuangan sebagai ibu hendaknya menjadi ibu yang mithali dan menjadi isteri yang patuh dan taat kepada suami. Begitu juga anak-anakku yang masih menimba ilmu agar terus mencipta kecemerlangan dan taat kepada perintah Allah.
   " 5,4,3,2,1...selamat tahun baru..." pekikan dan laungan orang ramai yang membanjiri Laman Budaya Kuala Kangsar. Laungan dan pekikan itu diikuti pula percikan bunga api yang menghiasi bandar Diraja Kuala Kangsar,Yong ketika itu sedang mengikuti kursus di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar sebagai memenuhi syarat bidang pengajiannya dalam kejuruteraan ICT  di Uitm Shah Alam telah diberi kepercayaan memprogramkan count down  bagi sambutan tahun baru menjelang detik 12 malam. Aku,isteri dan 4 anak turut sama meraikan sambutan tahun baru beberapa tahun lalu yang kini menjadi kenangan.

Friday, November 11, 2011

Tanggal 11.11.11

Tanggal 11.11.11 jatuh pada hari Jumaat yang merupakan tarikh keramat kerana tarikh itu begitu unik jika dilihat dari segi susunan nombor 1 terdapat enam digit. Subuh tadi aku menunaikan solat berjemaah di Masjid Jamek Kg Loh Karai. Selepas solat aku bersembang panjang dengan mantan ketua Kg. Loh Karai. " Jadi ke Ustaz Kazim menyampaikan ceramah di masjid kita pada 22.11.11?", terpancul soalan aku ajukan kepada mantan ketua kampung. " InsyaAllah jadi..tapi yang paling merisaukan tok.. berapa ramai jemaah yang dapat hadir..tengoklah sembahyang subuh hari ni pun ada  berapa kerat yang hadir", keluh mantan ketua kampung. " Tak apelah Tok..kita sama-sama berkempen,..jemput seluruh penduduk kampung dan kampung-kampung berdekatan..kalau boleh jemput semua penduduk di daerah kecil Sg. Siput(U)". balas aku bagi menenangkan keluhan hati mantan ketua kampung.Kami beredar meninggalkan perkarangan masjid.
     Hari ini juga sekolah aku dapat cuti peristiwa sempena Hari Anugerah Cemerlang dan Graduasi Pra Sekolah SK.Kati 2011. Aku tidak mengambil cuti rehat kerana ada mesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Aku masih ingat kata-kata perasmi Hari Anugerah Cemerlang semalam. " Anak-anak yang belajar di sekolah bukan diukur dari segi kejayaan mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga tetapi apa yang pentingnya ilmu dan kemahiran yang dipelajari dapat dimanfaatkan dalam kehidupannya", pesan perasmi membakar semangat murid dan ibu bapa yang hadir.Perasmi merupakan bekas pelajar cemerlang SK.Kati 33 tahun yang lalu. Kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Nazlin Trade Resourses. Beliau kembali ke akar umbi. Beliau adalah Ir. Ahmad Zainal bin Abd Rani. Aku terus memandu ke arah Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. 
      Setiba di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar aku dipanggil seorang rakan sejawat. " Ta..Ta..jamuan meraikan PPD di Pesisiran Sayong ditangguhkan", " Kenapa?" tanya aku sambil menutup pintu kereta. " PPD ada urusan yang tidak dapat dielakkan..kau telefon pembekal makanan", pinta rakan sejawatku. " Okay nanti aku bagi tahu". balas aku sambil menelefon pembekal makanan." Helo..Encik .Jo..maaf jamuan meraikan PPD ditangguhkan ke satu tarikh lain", " Okay...", balas Encik Johari. Tarikh 1 + 1 + 1 + 1 + 1 + 1 =  6 ( solat, ceramah, motivasi, akar umbi, ilmu, makan )

Thursday, November 10, 2011

Tarik Buaian Cucunda Atok

Kelahiran Aidiff menyebabkan ibu berpantang selama 44 hari.Temuni Aidiff telah dicuci dan ditanam di hadapan rumah Atok. Setiap petang Atok membuat ungun api kecil di atas tanah tanaman temuni. "Apabila temuni kering Aidiff tidak menangis", kata Wan Sun yang membersihkan temuni. Temuni dibersihkan menggunakan kapur barus, limau dan air.Hampir 7 petang Atok membuat ungunan api kecil. Ibu Aidiff terus berpantang. Pantang makan,minum dan melakukan sebarang kerja.Malahan keluar rumah pun tidak boleh kecuali ke klinik atau ke hospital. " Mak , mata Aidiff kuning", kata ibu kepada Opah. " Kita bawa ke klinik ", balas Opah. Aidif dibawa ke klinik kemudian ke hospital kerana kuningnya tinggi. Sehari semalam Aidiff di hospital. Kuning mata Aidiff beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
      Opah  membantu ibu menyediakan sebarang keperluan. Atok turut membantu meringankan tugas Opah. Setiap pagi ibu perlu bertungku. Opah akan membakar dua tungku besi selama 15 minit. Tungku yang panas akan dibalut dengan daun lengkuas dan dibungkus dengan kain. Ibu akan bertungku di bahagian perut setiap pagi dan petang selama 44 hari. Ayah Aidiff yang pulang sekali seminggu akan mengambil alih tugas Opah. Ayah bertugas jauh dari kampung Atok.
      Aidiff makin membesar dan ceria. Aidiff menjadi tali pengikat kasih sayang ibu dan ayah. Aidiff menambah ceria rumah Atok dan Opah. Tangisannya ditunggu-tunggu. Gerak gerinya jadi perhatian.Rambut Aidiff telah dicukur sehingga botak. Wajahnya makin ceria. Kini rambut mulai tumbuh tetapi berbelang-belang. Ada bahagian berambut dan yang masih licin tanpa rambut. Kata orang rambutnya dimakan bantal.
      Setelah genap 44 hari ibu berpantang, Atok dan Opah merancang akan membuat Majlis Tarik Buaian. Majlis ini ada juga disebut Majlis Berendoi. Sekitar tahun 60an majlis ini digabungkan Majlis Berzikir. Ada juga orang mengatakan habis pantang buang dapur." Na dah habis pantang, mak nak buat Majlis Tarik Boyan ni dengan Majlis Marhaban" usul Opah dalam perbincangan keluarga. " Dulu Majlis Tarik Boyan didendangkan dengan Majlis Berjikio", tambah Atok. " Apa Majlis Berjikio ayah?" tanya ibu kepada Atok. " Berjikio tu berzikir, biasanya orang lelaki yang berjikio dengan suara yang lantang hingga tegang urat leher", jawab Atok. " Kalau gitu kita buat macam cadangan mak tadi, bukan senang nak cari kumpulan berjikio", balas ibu memutuskan perbincangan keluarga.
      Hari kedua Hari Raya Aidil Adha 1432 Hijrah, Majlis Tarik Buaian dengan dendangan kumpulan marhaban bergema dalam rumah Atok. Aqiqah untuk Aidiff disempurnakan dalam Majlis Korban di pagi hari Raya Aidil Adha. Takbir dan tahlil turut bergema di bawah khemah di hadapan rumah Atok. Ramai jemputan dan jiran memenuhi ruang rumah dan khemah. Aidiff lena dalam buaian.

Sunday, October 23, 2011

Sidang Haiwan

Pertemuan penghuni rimba memang telah dirancang sejak berlakunya pelbagai musibah. Semakin hari semakin pupus genarasi mereka. Kawasan tempat kediaman yang merupakan habitat mereka telah diteroka dan diceroboh oleh manusia. Kehidupan mereka semakin terhimpit. Makanan dan minuman mereka tidak mencukupi. Kadang-kala terpaksa masuk ke kampung-kampung mencari sisa-sisa makanan manusia. Ada beberapa kawasan hutan simpan yang diwartakan agak begitu jauh dengan habitat mereka. Semasa mereka mencari makanan dan minuman ada yang terperangkap jerat manusia, ada yang kena tembak tetapi yang paling menyanyat hati semasa mereka mencari makanan dan minuman dan perlu melintas jalanraya yang merupakan laluan habitat mereka sejak turun temurun terpaksa bersabung nyawa. Kesihan penghuni rimba habis digilis kereta, dilanggar lori, apa lagi terburailah isi perut , bersepah daging dan kulit, tiada siapa yang peduli.
   " Tolong aku, kenapa kamu semua binatang bawa aku ke dalam hutan banat ni", pinta Encik Tajri yang merupakan jurutera jalanraya kepada semua haiwan yang merenung ke arahnya. " Dengar sini Tuan Jurutera, kami bawa Tuan ke Sidang Haiwan hari ini bukan nak menyiksa atau mengapa-apakan Tuan, sebenarnya..kami nak mohon jasa baik Tuan Jurutera agar dapat membina lalu kami sama ada di bawah jalanraya atau di atas jalanraya untuk kemudahan kami menyeberangi jalanraya yang Tuan bina", jawab Sang Gajah yang mempengerusikan Sidang Haiwan. " Kami keluarga biawak sangat-sangat bersetuju laluan itu dibina segera..kerana banyak kaum keluarga kami digilis kereta..sedangkan itu laluan kami sejak dari dulu lagi", celah sang biawak. " Betul-betul kata sang biawak tu..dulu pun ibu dan ayah aku dilanggar lori semasa kami sama nak minum di Sungai Perak", tambah sang kinzer dengan tangisan teresak-resak.
   " Baiklah semua binatang, aku berjanji akan membina laluan kamu..aku minta maaf atas apa yang telah berlaku kepada keluarga kamu semua", jawab Tuan Jurutera dengan terketar-ketar. " Janji mesti ditepati Tuan Jurutera...cuba Tuan Jurutera tengok jalanraya di negara barat..kenapa mereka ada sediakan laluan kami", usik Sang Camar sambil membandingkan kebertanggungjawapan jurutera di barat.Tiba-tiba terdengar satu letupan. " Semua lari..selamatkan diri masing-masing..ada tembakan", tempek Sang Gajah kepada semua penghuni rimba. Encik Tajri lari lintang pukang lalu terjatuh. " Tolong,tolong", " Abang-abang kenapa ni abang..abang jatuh katil ni", datang isteri Encik Tajri memegang bahu suaminya " Astrafilrullahhalazim...abang bermimpi tadi". Encik Tajri mengusap mukanya sambil merenung wajah isterinya.

Tuesday, October 11, 2011

Ketebang ( Kereta Terbang )

28 Januari 2040 merupakan tarikh keramat kepada negara. Rumah dan bangunan tidak banyak menggunakan bahan konkrit seperti batu dan simen, Kebanyakan rumah dan bangunan menggunakan bahan logam,kaca dan getah untuk menggelakkan berlakunya runtuhan yang membahayakan keselamatan pengguna apabila berlaku gempa bumi atau tsunami. Bukit-bukau dan gunung-ganang yang menjadi paksi bumi telah lama digondolkan sejak tahun 1970an lagi.Pepatah Melayu ada mengatakan, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.Begitulah keadaaan bumi kita yang sudah botak dan semakin kecil saiznya menyebabkan putaran menjadi lebih laju. Ini amat dirasai hari demi hari pusingan jam siang dan malam terasa begitu cepat. Jalanraya yang sering rosak akibat gempa bumi yang begitu kerap menyebabkan dua orang pakar inovasi penciptaan kereta negara iaitu Ir.Asyril Syazwan dan Ir. Ainal Syazwan telah mencipta kereta terbang atau singkatannya ketebang. Jabatan Lalu Lintas Udara diwujudkan bagi mempastikan lalu lintas udara terkawal dengan rapi.
     " Abang bersama Perdana Menteri akan memulakan pelancaran penerbangan pertama ketebang", kata Ainal yang seperti mencemburui peluang pertama ciptaan inovasi bersama. " Tak pe lah dik nama pun ketebang jadi kereta terbang tu kete abanglah", usik abang sebelum  mereka melelapkan mata dalam rumah kaca yang berangkakan besi dan aluminium. " Kalaulah ayah kita masih hidup, pasti dia yang paling gembira sebab dialah yang mencetuskan idea inovasi ini, semasa dia menceritakan kepada kita masa kecil dulu". sambung Ainal sambil mengimbau kenangan bersama ayah. " Betul dik, abang masih ingat kata ayah parking kereta tidak lagi digaraj atau halaman rumah..tapi parking kereta terbang semua di atas bumbung..tengoklah rumah kita pun parking di atas bumbung, begitu juga rumah-rumah yang lain", balas abang sambil menoleh ke arah adiknya yang sudah mula berdengkur. " Heh...dah tidor rupanya adikku..penat abang bercakap seorang", keluh Asyril sendirian dan terus menekan punat gebar bagi menyelimuti tubuh kedua-dua beradik yang pintar.

Saturday, October 1, 2011

Rinduku Terubat Jua

Kedinginan malam yang menggigit rasa. Kadang-kadang teringat jua akan sebuah kerinduan.Rindu pada sebuah kedamaian dan ketenangan hati yang telah begitu lama aku tinggalkan. Nasib baiklah teratak itu mengembalikan nostalgia aku terhadap kedamaian itu. " Teratak ini tidak boleh dibiarkan ", terdetik di hati ku. " Kalau dibiarkan teratak ini akan dinaiki pokok kangkung dan kayunya akan dimakan anai-anai", bisik hati kecil ku. " Bagaimana kalau teratak ini aku jadikan inap desa", tanya hati ku sendiri. " Sekurang-kurangnya dapat aku dan keluarga berteduh apabila pulang ke kampung", usul ku memanjangkan bisikan hati.
    Keesokkan harinya aku berpakat dengan Pak Cik Yaakop untuk memindahkan teratak itu ke tepi jalanraya utama. Sebelum ini teratak itu dibina oleh orang tua agak jauh dari jalanraya utama di kampungku. Pak Cik Yaakop yang begitu setia dengan ku dapat mengubah dan membina semula teratak ku dengan lebih cantik dan comel. Ramai yang berminat melihat reka bentuk inap desaku. Hampir RM15,000 aku belanjakan untuk membina semula inap desa ku. Aku amat gembira kerana inap desa ku ini dapat mengembalikan kedamaian dan ketenangan hatiku. Aku menjemput para jemaah dari masjid dan jiran berdekatan untuk memohon doa restu kepada Allah agar kedamaian dan ketenangan terus mendapat keberkatan.Rinduku terubat jua apabila mengecapi kedamaian dan ketenangan di teratak inap desa ini.

Sunday, September 25, 2011

Citer Mak Zaman Darurat

Mak memang pandai bercerita. Aku sentiasa menunggu cerita mak. Mak selalu menceritakan kisah anak dan keluarga. Suaranya nyaring menyebabkan ramai yang memberi perhatian kepada ceritanya. " Masa tu abang, encik dan yang kamu masih kecik lagi, mak terdengar bunyi letupan senapang dari arah baruh kampung kita", mak memulakan ceritanya.Aku, yop,kak dan adik-adik ternganga bercampur takut mendengar cerita mak. " Apak kamu menarik mak, abang, encik dan yang kamu ke arah bendang dalam gelap gelita, mak, abang,encik dan yang bersembunyi di celah pokok padi yang sedang masak", sambung cerita mak. "Habis, tak miang ke mak duduk malam-malam dalam sawah", celah aku dalam cerita mak." Apa nak di kata, mak takutkan komunis sedang mengamuk masuk dalam kampung kita", balas mak. "Apak pergi mana mak masa itu?" tanya kak. " Apak kamu berkawal dengan kawan-kawan, takut  komunis menyerang dan menceroboh rumah-rumah dalam kampung kita", ujar mak. " Masa tu tembakan bertalu-talu dalam kampung kita, mak cukup takut, abang dan encik kamu mengeletar takut sangat, mak risaukan Apak kamu, takut ditembak komunis, malam tu mak,abang, encik dan yang sepicen pun langsung tak tidur", mak menyambung cerita lagi.
   " Besok pagi baru Apak kamu datang mengajak mak pulang ke rumah, syukur Apak kamu selamat", mak mengesat air mata mengenangkan betapa perit zaman darurat." Mak tanya apak kamu, apa yang belaku malam tadi, Apak kamu kata tiga buah rumah diceroboh komunis iaitu rumah Hj Lamin, Hj Kasim dan Hj Jihin, yang sedihnya Hj.Lamin dan isterinya ditembak komunis sebab Hj. Lamin tidak mahu buka pintu rumah dan mencabar komunis kalau bunuh dia barulah pintu rumah terbuka, isteri Hj Lamin bersembunyi bawah katil, bila tengok suaminya terbunuh, dia menjerit, kemudian isterinya pun ditembak komunis", cerita mak yang begitu menyayat hati. Aku dan adik-adik menjadi lebih takut. " Habis macam mana Hj Kasim dan Hj Jihin?" tanya Yop. " Hj Kasim dan Hj Jihin selamat sebab dia bagi komunis masuk rumah", jawab mak. " Komunis tu nak cari apa mak?" celah adik. " Komunis tu dik, dia nak beras dan makanan yang ada di rumah kita", balas mak. " Komunis tak masuk ke rumah kita", tanya adik yang bongsu. " Komunis tu cari rumah orang yang pernah bekerja menoreh getah ketiga-tiga pak aji tu , deme tu pernah jadi kuli kepada Hj. Lamin, Hj Jihin dan Hj Kasim ", jawab mak." Kejam......komunis tu", serentak aku dan yop bertempik.

Sunday, September 18, 2011

Sambal Tempoyak Ulam Petai

Tempoyak sejenis makanan warisan di negeri Perak. Ia dibuat daripada isi durian yang dilenyek dan disimpan dalam botol atau balang kaca. Lagi lama tempoyak disimpan, ia akan lebih enak dimakan kerana rasa masam dan baunya sungguh menusuk kalbu dan membuka selera makan. Tempoyak boleh dijadikan masakan berkuah yang dicampur dengan ikan air tawar. Tempoyak boleh dimasak tanpa kuah yakni digaul dengan cili tumbuk dan dimasak hingga kering. Tempoyak juga boleh dijadikan sambal dengan mencampurkan kelapa parut dan cili api, kemudian ditumbuk dalam lesung batu.Tempoyak boleh juga disimpan dalam peti ais untuk mengekalkan rasa manis durian. Sambal tempoyak boleh dimakan dengan pelbagai ulaman. Ulam yang paling sedap dimakan dengan sambal tempoyak adalah petai.
 " Encik suka makan petai", tanya doktor kepada aku. " Ya..doktor..saya suka makan petai dengan sambal tempoyak", balas aku kepada doktor yang sedang merawat aku. " Betul..doktor..suami saya ni bukan saja suka makan petai dengan sambal tempoyak..tapi kekadang dia suka meratah petai begitu saja", celah isteri yang berada disisiku. " Inilah yang saya nak bagi tahu encik..batu karang yang terdapat dalam pundi kencing encik bukan berasal daripada makanan laut tetapi makanan daripada beberapa jenis sayur-sayuran dan ulaman seperti petai", jelas doktor setelah melakukan pemeriksaan melalui ct-scan.Terkejut aku kerana petai adalah ulaman kegemaranku.

Monday, September 12, 2011

Cucu Sulung Atok

Kegelisahan ibu menanti saat kelahiran bayi amat memeritkan, apatah lagi anak sulung. Begitu juga kerisauan bapa tidak tergambar hendak diceritakan. Opah telah berkali-kali berleter untuk mendapat simpati Atok. Atok yang membisu terlalu sebuk dengan program sekolah. " Cepatlah.. abang anak kita tu nak bersalin..abang asyik dengan sekolah..siang malam ke sekolah", leter Opah kepada Atok. " Sabarlah..kita sama-sama berdoa moga anak kita dipermudahkan bersalin", doa Atok menyabarkan Opah." Anak kita tu dah 2 hari mengerang kesakitan..tadi dia menangis semasa telefon", sms yang dihantar Opah kepada Atok yang baru hendak memulakan Majlis Bacaan Yassin bersama guru, ibubapa dan murid-murid Tahun 6. " K" jawab Atok ringkas dalam sms. 
     Atok balik dari surau sekolah jam 10.30 malam setelah selesai Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat. Opah keletihan sudah tidur semasa Atok pulang. Atok ada membawa kunci rumah supaya tidak  mengganggu tidur Opah. Tepat jam 12.15 malam anak menantu menelefon. " Mak..Na selamat bersalin..pukul 12.10 tadi", Alhamdullillah..syukur..abang anak kita selamat bersalin", ujar Opah kepada Atok. " Syukur.alhamdullilah esok kita pergi ke Putrajaya..tapi sebelah pagi abang nak berjumpa dengan murid-murid Tahun 6 sebab esok ada Program Pembugaran Minda UPSR dan Jamuan Hari Raya", balas Atok menenangkan hati Opah. 
     Setelah menghantar barang-barang salah seorang anak yang belajar di Uitm Shah Alam, Atok dan Opah terus ke Prisint 5. Putrajaya. Anak sudah keluar Hospital Putrajaya, kini berada di rumah bersama keluarga sebelah anak menantu. Kegembiraan terpancar di wajah Atok dan Opah melihat wajah yang ceria dan comel cucu sulung Atok." Bila.. Na minum air selusuh..Na terus bersalin", Nina anak Atok menceritakan saat melahirkan putera sulungnya."Syukur Alhamdulillah..Na selamat bersalin", balas Opah. Atok mengangguk-anggukkan kepala dengan memakai songkok tinggi.tanda sama-sama bersyukur kepada Allah S.W.T. " Sapa nama cucu Atok", tanya Atok. " Muhammad Airil Aidiff, ayah..Jon dah fikir 6 hari 6 malam ", balas Jon anak menantu Atok secara berseloroh. " Tarbiyah cucu Atok ke jalan reda Allah ", Atok menaip dalam gambar terpapar dalam facebook Atok. " Tengok Atok kamu.. kalau dapat facebook baju kerja pun tak sempat nak salin", usik Opah yang tersenyum simpul. Ini sikit citer sayangnya.. Cucu Sulung Atok.

Sunday, August 21, 2011

Kerantung Dan Peta Duit Raya

Kerantung buluh yang tergantung di cucur atap serambi rumah terbuai-buai ditiup angin petang. Mata aku asyik memandang ke arah kerantung itu. Kerantung itu dibuat oleh abang kesayanganku yang aku panggil Yop. Apabila menjelang Ramadan, Yop akan menyiapkan kerantung untuk aku dan rakan-rakanku.Kerantung buluh yang dibuat daripada buluh aur atau buluh minyak. Apabila kerantung dipukul bertalu-talu, bunyinya akan mengejutkan jiran untuk bangun sahur . Kerantung masjid juga bertalu-talu dapat mengerakkan seluruh penduduk Kampung Bendang Kering untuk bangun sahur. Kerantung masjid bersaiz besar yang diperbuat daripada kayu hutan. Kerantung masjid digantung berhampiran pintu masuk masjid.Jika waktu itu pukul 4.00 pagi, kerantung akan dipukul bertalu-talu dan diikuti dengan 4 kali ketukan terakhir. Bunyinya dapat didengari "Tuktuktuk..tuktuktuk..tuktuktuk..tuktuktuk.tuktuktuk..... tuk... tuk... tuk...tuk..", Kalau pukul 4.30 pagi, kerantung akan dipukul bertalu-talu dan diakhiri dengan ketukan 4 kali ketukan dan ditambah sedikit ketukan." Tuk...tuk...tuk..tuk...tik.". Jika waktu imsak tamat, ketukan bertalu-talu dalam lubang kerantung dan di akhiri dengan satu ketukan. Ketukan menggunakan sebatang kayu yang boleh dipegang dengan menggunakan sebelah tangan. Maklumlah hampir setiap rumah tiada jam dinding, jadi ketukan kerantunglah menentu waktu sahur dan imsak tamat.
   " Hai..termenung panjang nampak", tegur Hassan sambil melambung sebiji rambutan ke arah aku yang sedang termenung di serambi rumah. " Mana dapat buah rambutan ni?", tanya aku tanpa menghiraukan sapaan Hasan. "Tadi, ayah aku kait rambutan dekat rumah", jawab Hassan. " Kau tak puasa ke hari ni?", tanya aku lagi. " Puasalah", balas Hassan. "Habis ngapa kamu bagi aku rambutan", "Sajalah nak tunjuk pada kamu", jawab Hassan menamatkan cerita sebiji rambutan. 
  " Hassan....kau nak tahu kenapa aku asyik tengok kerantung tadi", aku  menjawab sapaan awal Hassan tadi. " Iyalah..aku risau tengok kau macam tu..aku pun ada kerantung taklah macam kau", balas Hassan. " Hassan sebenonya malam esok kerantung itu tak berbunyi lagi", jelas aku kepada Hassan."Kenapa?", tanya Hassan.  " Lusa kan kita nak raya", Oh, iya juga..jadi malam esok orang kampung akan bertasrik..jalan-jalan dari rumah ke rumah sampai pukul 2.00 pagi sambil bertakbir". Hassan mengiyakan persoalan yang dikemukakan pada aku. " Kalau gitu.. apa kata kita buat peta duit raya", usulku yang dinanti-nantikan Hassan. "Okay..okay aku setuju". balas Hassan. Kami pun melakar peta duit raya di halaman rumah ku. " Mula-mula kita pergi rumah....." cadangan ku sambil melakar peta laluan rumah-rumah yang mudah dapat duit raya di atas tanah di halaman rumah ku dengan sebatang kayu kecil. " Jalan-jalan raya tu....jangan lupa pergi rumah tok,pah,wah,nyah,abang, kak...jangan asyik cari duit raya aje.". sampuk emakku dari ruang dapur. Rupa-rupanya perancangan aku dan Hassan diintip oleh emakku. Hari Raya hari kemenangan. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Thursday, April 28, 2011

Nasyirah



Biodata Penulis
ITAHARMI,  nama pena bagi Itamta bin Harun, PPT., yang dilahirkan di Kg. Bendang Kering,Sayong,Kuala Kangsar,Perak pada 28 Jan,1955. Pendatang baru dalam dunia sastera tanah air dan kini sebagai Setiausaha 2 Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak. Karya pertama beliau termuat dalam  Majalah Dewan Masyarakat yang berjudul ‘Budaya Pop dan Budaya Nasional Perlu Seimbang’ pada 1979. Sejak itu beliau cuba berjinak dalam ganre sastera seperti penulisan sajak,pantun,syair,cerpen dan drama. Beliau memenangi  Naib Johan dalam Pertandingan Mengarang Cerpen sempena Hari Guru Negeri Perak  1983.Beliau juga memenangi Pertandingan Penulisan Skrip Drama sempena Hari Guru Perak 1986. Sajak ‘Cikguku Sayang’ termuat dalam buku Lembaran Efektif STPM B.Malaysia (Kertas 2) 2010.Sebagai seorang pendidik beliau juga terpanggil dalam penciptaan kaedah mengajar di mana beliau mendapat penghargaan  Hadiah Inovasi P&P Individu Sekolah Rendah dalam Kaedah Sigai (Sifir Garis Itamta) sempena Pertandingan Anugerah Gemilang Akademik anjuran Jabatan Pelajaran Perak tahun 2001. Dalam bidang pemidatoan beliau pernah mendapat Johan dalam Pertandingan Debat Kenegaraan K3P ( kini Komuniti  1 Malaysia, dulu Komuniti  Bestari ) Peringkat Negeri Perak dan Naib Johan dalam Pertandingan Debat Kenegaraan K3P  Zon 2 Peringkat Kebangsaan 2004.Beliau merupakan kumpulan pertama (Kohort 1) dalam Program Pensiswazahan Guru Besar di UPSI Tanjung Malim, Perak mulai tahun 2004-2006. Beliau juga dianugerahi Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kuriniaan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah Sultan Perak Darul Ridzuan  sempena Hari Keputeraan Sultan Perak pada tahun 2008. Kini bertugas sebagai Guru Besar di SK. Kati, Kuala kangsar, Perak. http://itaharmi.blogspot.com
*  *  *  *  *  *  *  *   *  *  *  *  *   *  * *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *   *   *  *  *  *  *

NASYIRAH
Oleh : Itaharmi

       Jiwa  Nasyirah telah lama terpenjara. Lidahnya kelu bersuara.  Segala hasrat hati terahsia begitu sahaja.  Betapa pun ia mahu meluahkan hasrat hatinya namun ada saja halangan yang  membelenggu  perasaan dan fikirannya. Hanya titis-titis air jernih yang bersimpati dan dapat mengendurkan sebak dadanya. “Syirah...., tengok anak kamu ni, habis bunga-bunga aku direlasnya”, jerkah ibu dari halaman rumah. Nasyirah yang sibuk menyediakan juadah makan tengah hari di ruang dapur, cepat-cepat keluar rumah lalu mengambil anaknya. Anak Nasyirah yang baru berusia tiga tahun, belum mengerti tentang keindahan dan barang-barang kesayangan orang lain. Nasyirah tidak membalas teguran ibu. Dia tahu ibu memang suka berleter. Apatah lagi kalau pokok-pokok bunga kesayangannya dirosakkan orang lain, walaupun cucunya sendiri. Kalau satu perkataan dibalas Nasyirah, sepuluh pula jawapan yang boleh  menambah luka hatinya.
    “Syirah, abang lihat sejak akhir-akhir ini, kau tidak seceria dulu dan kurang pula bercakap, apa yang tak kena di rumah ni?’ tegur Nasyril sambil membaca akhbar selepas makan tengah hari. “Tak ada apa-apa bang, lagi pun tak ada apa yang hendak dicakapkan”, balas  Nasyirah. “Kalau ada masalah, ceritakanlah pada abang, insyaAllah mana yang boleh kita selesai.., kita selesaikan bersama”, nasihat Nasyril. “Syirah tu bukan apa Nasyril, dia memang pendiam orangnya”, sampuk ibu dari ruang dapur. “Bukan apa mak, dulu Syirah cukup peramah.Tapi sekarang, nak dapatkan senyumannya.., pun.., susah”, balas Nasyril sambil mengusik isterinya. “ Abang Nasy,emak, sebenarnya Syirah banyak kerja, jadi tak sempat nak berbual-bual”, jawab Nasyirah untuk menjaga hati ibu dan suaminya. “ Itulah, dulu emak ada orang gaji, kau tak mahu.Kau kata, kalau ada orang gaji nanti hilang pula tanggungjawab seorang isteri“, usik ibu.Nasyril dan Nasyirah saling berpandangan dan faham sikap ibu yang tidak suka mengalah dalam satu-satu perdebatan keluarga. Mereka mendiamkan diri. Ibu memberhentikan hujahnya. Nasyril kembali ke pejabat tempat ia bertugas.
        Segala ketaatan dan kesetiaan Nasyirah kepada suami dan keluarga telah dicurahkan tanpa perasaan berbelah bagi. Namun begitu hati Nasyirah masih belum menikmati kebahagiaan sepenuhnya dalam erti berumah tangga. Bukan kerana suami dan anak yang menyebabkan  Nasyirah tidak merasa bahagia dalam rumah tangganya tetapi peranannya sebagai seorang permaisuri dalam rumah banglo dua tingkat setengah itu terpaksa berkongsi dengan ibu mertuanya. Kadang-kadang Nasyirah merasa serba tidak kena apa yang dibuatnya dalam rumah banglo itu.
   “ Abang, apa kata kita pindah”, usul Nasyirah sewaktu mata hampir lelap di atas katil.“ Pindah?...nak pindah ke mana Syirah?..ini kan rumah abang, rumah hasil keringat ayah abang,Abang anak yang bongsu,lagi pun arwah ayah abang telah mewasiatkan rumah ini adalah milik abang, kalau pindah pun, bagaimana dengan emak?..dia tentu tidak mahu, apatah lagi kalau pindah ke rumah setinggan”, balas Nasyril dengan sindiran yang menghiris hati Nasyirah.“ Abang, walaupun rumah setinggan Syirah dilahir dan dibesarkan, tapi jiwa dan hati Syirah cukup bahagia”,. “Oh...jadi di rumah abang ni Syirah tak bahagia?”. “ Bukan begitu bang, Syirah mahukan peranan dan tanggungjawab  Syirah sebagai isteri dapat ditunaikan sepenuhnya untuk abang dan keluarga kita tanpa dikawal segala gerak geri Syirah”, jelas Nasyirah. “ Habis.... apa yang masih Syirah tak puas hati?”,.“ Selama ini, apa yang Syirah buat di rumah ini serba tak kena, ada saja teguran daripada emak”, jelas Nasyirah lagi. “ Orang kalau menegur tu, bukan bertujuan yang buruk”, Nasyrll cuba memihak kepada ibunya. “ Sudahlah...biar abang keluar..panas lah dalam bilik ni.”, Nasyril menamatkan pertengkaran kecil itu lalu terus keluar dari kamar tidur.Nasyirah menangis bersendirian dalam kamar tidur. Nasyril ke ruang tamu menonton televisyen bagi mengelakkan pertengkaran kecil itu berpanjangan.
         Nasyril masih ingat pesanan ayah jika berlaku pertengkaran antara suami isteri jangan dibiarkan berpanjangan dan elok  salah seorang menjauhkan diri atau  mendiamkan diri. Menjauhkan diri atau mendiamkan diri bukan erti kalah tetapi demi menjaga kerukunan rumah tangga terus utuh sepanjang masa.
       Pertengkaran  kecil antara Nasyril dan Nasyirah tidak didengari ibu kerana ibu tidur di kamar bawah. Ibu terdengar bunyi televisyen di ruang tamu. Ibu membuka pintu bilik sambil mengintai apa yang berlaku di ruang tamu. “ Ha.. tak tidur lagi Nasyril?”, tanya ibu .“ Panaslah mak”, balas Nasyril.  “ Tak pe Nasyril..mak pun  nak  tidur ni  dah ngantuk”, ibu kembali ke kamar tidur.“ Itu yang kamu kata cinta..kau nak hidup dengan cinta..Nasyirah dengan kau tu macam enggang dengan pipit.Bolehke kamu sesuai hidup di rumah setinggan tu. Kau lihat abang kau kahwin dengan orang setinggan, pada mula nampak baik dan lembut tapi akhirnya emak pun dibiarkan. Kau nak ikut jejak langkah abang kau? ”, kata-kata ibu masih tergiang-giang di cuping telinga Nasyril dan terus tersimpan dalam benak yang menjadi  igauan untuk menilai sebarang kekusutan berlaku dalam keluarga.
   Abang Long dan kakak ipar Nasyril jarang sekali mahu menjenguk ibu. Kalau datang pun mungkin pada waktu-waktu tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri. Ibu Nasyril pernah ditinggalkan kakak  ipar semasa  mereka membeli belah di sebuah pusat membeli belah di Singapura. Nasib baik Nasyril ada bersama  ibu ketika itu dapat menenangkan hati ibu yang ditinggalkan kakak iparnya. Nasyril pada waktu itu masih di alam kanak-kanak. Sejak itu  hati ibu telah terguris dan kalau boleh perkara yang sama tidak mahu berulang kembali dalam hidup ibu dan keluarganya. Tapi jodoh telah ditentukan Allah, ibu menerima dengan hati terbuka dua anak menantu dari perkampungan setinggan. Perkampungan setinggan kakak iparnya  telah bertukar wajah dengan kepesatan pembangunan bandaraya tetapi perkampungan setinggan Nasyirah masih dapat mengekalkan ciri-ciri perkampungan Melayu.
        Nasyril tidak menceritakan apa yang berlaku antara dia dengan Nasyirah kepada ibunya demi menjaga  hubungan  baik antara isteri dan ibunya. Begitu juga apa  yang pernah berlaku antara ibu dan kakak iparnya kepada Nasyirah. Namun begitu dia sedar  perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Ia harus diselesaikan secara berhemah untuk menjaga hati isteri dan  hati ibunya. Kali terakhir abang long dan kak ipar Nasyril datang berkunjung ke rumah ibu kira-kira lima bulan yang lalu. Itu pun ada urusan berhubung dengan satu pelaburan .
“ Mak kami datang bukan apa, cuma nak pinjam RM10,000.00 untuk pelaburan..ini buktinya mak cek yang telah kami terima,” pinta abang long untuk menyakinkan ibu.“ Tak usahlah kamu percaya dengan pelaburan itu..dah banyak kena tipu.Dulu pun mak dah bagi kamu pinjam RM5,000.00 tapi tak ada pun keuntungannya,ini.. nak pinjam  lagi daripada mak..ce..cerita pada mak apa pelaburan kamu berdua ni”, balas ibu untuk mendapat penjelasan.“ Mak..ini bukan skim cepat kaya..ini pelaburan barangan kesihatan..sambil melabur kita dapat membeli barangan kesihatan dan wang pelaburan kita  tidak luak dan terus meningkat..kalau Nasyril nak masuk pun boleh.,” abang terus mempertahankan konsep pelaburannya sambil berkempen untuk melebarkan sayap kepada adiknya.“ Abang long, kak long....saya nak cakap sikit, ni bukan nak mengajar abang dan kak....tapi apa yang mak cakap tadi ada benarnya....sebab pelaburan yang tak jelas dengan bukti yang kukuh perniagaannya, tak usahlah percaya”, celah Nasyril. “ Sudahlah mak... Nasyril pun sama,” abang long dan kak long keluar meninggalkan rumah.Nasyril terus menonton televisyen sambil melayan emosi dan kenangan pertemuan kali terakhir  dengan abang long dan kak long yang datang menziarahi ibu.Kebetulan waktu itu Nasyril ada dalam perbincangan itu.
“ Mak...”, terkam Izwan dari belakang Nasyirah. “ Izwan tak tidur lagi?” Tanya Nasyirah sambil membelai rambut  Izwan. “ Mak nangis ke?”, tanya Izwan kerana  melihat ibunya sedang mengesat air mata.“ Tak..mata mak masuk sampah tadi”, balas Nasyirah untuk memendekkan pertanyaan anaknya.“ Emak, bila kita nak pergi rumah atok?” tanya Izwan lagi.“ Nantilah, hari minggu ini kita ajak ayah pergi rumah atok”,“ Tapi ayah tu tak suka pergi ke rumah atok”,.“ Bukan tak suka, tapi ayah Izwan tu kan banyak kerja”,.“ Ayah tu kalau pergi rumah atok, tak mahu lama-lama, sekejap aje”, kata-kata Izwan tidak dibalas Nasyirah.
       Ungkapan Izwan itu ada persamaan dengan masalah yang sedang bermain dalam kepala Nasyirah. Sayu hati Nasyirah bila anak yang sekecil itu dapat menilai sikap bapanya. Nasyril seolah-olah merasa rimas dan gelisah jika berada lama di rumah kelahiran Nasyirah.Paling lama dua puluh minit, Nasyril berada di rumah bapa mertuanya. Kadang-kadang bapa Nasyirah yang telah lama membujang itu pun terasa jauh hati bila anak menantunya bersikap dingin terhadap rumah dan keluarganya. Malam itu Nasyril terus terlena di hadapan televisyen dan Nasyirah yang sukar melelapkan mata cuba membangun Nasyril dan  mengajak tidur bersama Izwan di kamar tidur.
       Segala apa yang berlaku akan menambahkan lagi sebak di dada Nasyirah. Kerunsingan di hati Nasyirah bagai tak terbendung lagi. Hari-hari mendatang akan membuntukan fikiran dan perasaan Nasyirah. Hanya Izwanlah satu-satunya yang menjadi penawar bagi mengubati dukalara Nasyirah. Sesekali timbul penyesalan di hati Nasyirah kerana terlalu cepat mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan. Pelepasan jawatan adalah semata-mata menurut kehendak suami yang tercinta. Sebagai seorang isteri yang taat kepada suami sewajarnya tidak mengengkari cadangan yang baik  daripada suami. Syurga itu di bawah kepimpinan suami yang soleh dan kesetiaan isteri yang soleha serta sering mentarbiah anak-anak ke jalan yang diredai Allah.
   “ Syirah sayang,,,abang fikir lebih baik Syirah berhenti kerja dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap anak dan keluarga kita”, usul Nasyril sambil membelai rambut Izwan yang baru berusia dua puluh hari. Ketika itu Nasyirah  masih dalam pantang yang mendapat cuti bersalin selama dua bulan. “Berhenti kerja...? habis siapa pula yang nak sara hidup ayah?’  Nasyirah meragui tindakannya. “Janganlah Syirah risaukan, kita hantarlah wang seperti biasa”, Nasyril cuba menenangkan keaadaan. “Tapi...bagaimana jika berlaku sesuatu ke atas diri abang?”. “maksud Syirah?”.“Manalah tahu, jika sesuatu takdir menimpa ke atas diri abang atau Syirah ditinggalkan..”.“Janganlah risau abang tetap  setia dan mencintai Syirah hingga akhir hayat abang...abang kan ada pencen...wang persaraan itu dapat membantu Syirah dan anak kita”, Nasyril menutup keraguan Nasyirah. “ Ring...ring...,” telefon bergema menghentikan lamunan Nasyirah. “Helo...” ibu mengangkat ganggang telefon. “Nasyirah.. ada telefon untuk kamu”, ibu memanggil Nasyirah.“ Kak ni adik..nak bagi tau ayah jatuh pagi tadi..dia jatuh tangga semasa nak betulkan lampu..kaki ayah patah”, jelas adik Nasyirah dalam talian.“ Habis...ayah di mana sekarang?”, tanya Nasyirah. “ Ayah sudah adik bawa ke hospital”, . ”Petang nanti kakak dengan abang datang”, telefon dihentikan perbualan. “ Mak..tadi adik Syirah ada telefon, ayah saya sakit..kakinya patah sebab jatuh tangga semasa nak betulkan lampu di rumah”, Nasyirah memaklumkan pada ibu. “Itulah, dulu mak dah kata, lebih baik ayah Nasyirah tu hantarkan ke rumah orang tua-tua, lebih selamat dan terjamin kesihatannya, ini duduk di rumah setinggan tu siapa yang nak uruskan”, balas ibu dengan sindiran tanpa langsung menunjukkan simpati kepada Nasyirah.“Apa-apa pun, tunggu suami kamu balik kalau nak ziarah bapa kamu”, sambung ibu lagi.“Ring-ring”. telefon bergema. Ibu mengangkat ganggang telefon.“Assalamualaikum mak”, Walaikumsalam..ada apa Nasyril”, “Ini ada berita baik untuk mak.Syirah dan cucu mak”, “Berita apa tu”, Nasyril dinaikkan pangkat ke jawatan lebih kanan..tapi Nasyril kena bertukar ke Sarawak”, “ Apa naik pangkat bertukar ke Sarawak?” “Tak apalah mak, kerang kita bincang”, balas Nasyril menutup perbualan. Perbualan Nasyril dan ibu didengari Nasyirah. Tapi kenapa ibu tidak menceritakan kemalangan yang menimpa  ke atas bapa Nasyirah. Sedih bercampur gembira bermain di minda Nasyirah. Sedih kerana bapa ditimpa musibah. Gembira suami dinaikkan pangkat mungkin berpeluang Nasyirah berpindah ke rumah baru untuk membina mahligai rumah tangga yang menjadi idamannya.
     Petang itu Nasyril dan keluarganya menziarahi bapa Nasyirah yang terlantar di hospital. Kakinya masih disimen untuk membetulkan bahagian kaki yang patah.“ Mana mak kamu Nasyril?”, tanya bapa Nasyirah. “Mak tak dapat datang sebab abang saya yang tinggal di Petaling Jaya tu nak datang ke rumah saya”, jawab Nasyril. “Dengar kata kamu dinaikkan pangkat ke Sarawak....betulke?”, tanya bapa lagi. “Betul ayah...itulah saya nak bincang dengan ayah..saya cadang nak bawa Nasyirah dan Izwan ke Sarawak”, “ Elok sangatlah tu...tapi mak kamu siapa yang nak jaga?”, “ Abang Long saya kan ada, dia yang jaga”, “ Rumah abang long yang besar tu tak kan nak dibiarkan begitu saja”, celah Nasyirah. “ Ini yang abang malu nak cerita....sebenarnya abang long dan kak long saya sudah muphlis...dah bangkrap....rumah besar pun dah tergadai ke pihak  bank kerana melabur dalam skim cepat kaya”, jelas Nasyril dengan nada kekesalan. “Ya...Allah...Ya..Tuhanku....kenapalah orang yang bijak pandai macam abang long kamu mudah tertipu”, bapa turut bersimpati. “Betul ke bang....kesian abang long dan kak long...apakah dosa mereka.....sudahlah tiada zuriat”, Nasyirah turut merasa sedih dan simpati.” “Mereka berdua tu banyak mengalirkan air mata mak..elok mereka duduk dengan mak untuk menebus segala dosa mereka”, jelas Nasyril sambil mengimbau kenangan pahit bersama abang long dan kakak long. Apa yang berlaku antara ibu dan abang long dan peluang atas kejayaan Nasyril suami kesayangannya dalam meniti kerjayanya sedikit sebanyak ada hikmah dan sekaligus melenyapkan kegelisahan yang terpenjara dalam hati Nasyirah.

Glosori:
1.       Relas = mematahkan dahan dan daun pokok
2.       Kerang = sedikit masa lagi
3.       Tidak Luak =tidak mengurangkan jumlah
4.       Ce..cerita = cuba cerita



Sunday, March 6, 2011

Batu Mat Riah

Hutan rimba dan gunung-ganang masih dapat menyejuk dan menyegarkan suasana di Kg. Bendang Kering. Kabus tebal di cecelah pergunungan menambahkan keindahan waktu pagi di kampung itu. Bunyi siamang yang bersahut-sahutan di tepian gunung menjadikan satu dendangan yang menghiburkan penduduk kampung.Kicauan burung dan bunyi tupai yang ketakutan sesuatu turut memeriahkan lagi suasana pagi.
   Penduduk kampung keluar rumah mencari rezeki yang terdapat dalam hutan rimba. Ada yang mencari buah-buahan dalam hutan.Ada yang mencari rotan dan akar kayu.Ada juga yang memburu binatang.Buah-buahan dalam hutan seperti buah rambai hutan, buah berangan,buah-buah dari akar dan bermacam-macam buah-buah yang boleh dimakan haiwan bermakna boleh dimakan manusia. Rotan boleh digunakan untuk mengikat sesuatu atau membuat peralatan bagi menangkap ikan atau binatang buruan.
   Di hujung kampung ada sebuah keluarga yang tinggal dalam sebuah pondok kecil. Keluarga ini tidak mempunyai anak.Sang suami bernama Mat dan isterinya bernama Riah. Mereka berdua sering berulang-alik mencari buah-buahan dalam hutan. Sebelum pergi ke hutan, Riah akan menyediakan bekalan untuk dimakan apabila sampai di hutan. Bekalan yang biasa dibawa seperti pisang dan ubi rebus. Bekalan itu dimasukkan dalam bujam yang dibuat daripada anyaman mengkuang.
   Sampai di tengah hutan, Mat dan Riah berhenti untuk berehat seketika.  " Bang Mat..tolongle carikan kutu di kepala Riah ni, gatal beno..," pinta Riah yang ingin bermanja dengan suaminya. " Heh..repek aje kamu Riah, tengah-tengah  hutan banat ni nak cari kutu..kita nak cari buah-buah..bukan..," balas Mat. Belum sempat Mat menghabiskan kata-katanya. Tiba-tiba tendengar suara garau yang kuat. " Hai..manusia..apa kamu buat di kawasan aku ini," tegur Sang Kelembai. Mat dan Riah tidak berkata-kata. Tubuh mereka bersama bujam menjadi kaku dan mengeras menjadi batu. Sampai kini Batu Mat Riah bersama bujam bekalan makanan masih terdapat di Kg. Bendang Kering yang saban hari mengeluarkan air minuman untuk penduduk kampung dan pelawat. Keganjilan Batu Mat Riah ini apabila hampir banjir ia akan mengeluarkan bunyi yang mengaum. Patang larangnya orang kampung dan pelawat tidak digalakkan mengambil air waktu tengahari,senja dan malam. Batu Mat Riah merupakan dua ketul batu setinggi 3 meter yang seolah-olah dua insan sedang mencari kutu dan antara dua ketul batu itu, ada seketul batu kecil berbentuk bujam yang seolah-olah bekalan makanan. Batu Mat Riah terletak di hujung kampung Kg. Bendang Kering yang dikenali tempat ini dengan panggilan Pancur. Mungkin nama pancur itu datangnya dari nama pancuran air daripada Batu Mat Riah.

Monday, February 28, 2011

Budimu Tuan

Budi adalah akal. Akal membezakan antara manusia dan haiwan. Dalam diri haiwan tiada manusia tetapi dalam diri manusia ada haiwan.Kita lihat apa yang berlaku hari ini, kekejaman demi kekejaman. Mereka sanggup membunuh dan membuang bayi. Tiada perasaan belas kasihan. Rahmat sukar turun ke bumi.Hidup mereka lebih jahil daripada orang di zaman jahililiah.Di mana erti kemanusiaan. Di mana pertimbangan akal mereka. Itulah, bila nafsu mengatasi keupayaan akal manusia. Mereka ini tiada pegangan agama Islam yang kukuh.Takut dan mungkin malu pada masyarakat
    Perjalanan pulangku dari Kota Bahru ke Gerik masih siang lagi. Aku biarkan beberapa kereta memotong keretaku. Dua orang anakku, yang sulung baru berusia lima tahun dan yang tengah baru berusia dua tahun sedang nyenyak tidur di kerusi belakang.Anak-anak adalah anugerah Illahi yang sewajarnya kita belai dan pupuk dengan penuh kasih sayang dan dididik dengan akhlak yang baik.Isteri kesayangan di sebelah kiriku pun nyenyak tidur. Aku ditemani lagu-lagu dari cd yang ku pasang. Kadang-kadang aku pun rasa nak mengantuk tapi aku cuba lawan dengan mengunyah gula-gula. Aku pandu kereta dalam kederasan yang sederhana. Kereta, van dan lori ku biarkan memotong keretaku.
    Di pertengahan lebuhraya Jeli ke Gerik yang di kelilingi hutan dan gunung, aku lihat ada sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan dan seorang lelaki bersama keluarga  sedang melambai-lambaikan tangan. Aku perhatikan seorang lelaki dan seorang perempuan bersama  seorang anak kecil sedang meminta bantuan. Kereta, van dan lori yang memotong kereta ku berlalu tanpa memperdulikan lambaian mereka. Aku cuba kejutkan isteri dari tidurnya. " Da..... da...cuba tengok di hadapan tu, ada satu keluarga macam nak minta sesuatu, kita nak berhentike?" ujarku kepada isteri. " Jangan bang..takut-takut perangkap atau helah saja," nasihat isteriku." Tak pe le Da..niat kita nak tolong," aku menolak cadangan isteri.Waktu itu sudah jam 5.00 petang. Suasana dalam hutan mula beransur gelap.
     Aku memberhentikan kereta agak terkehadapan kedudukan mereka. Aku keluar dari kereta. Orang itu menghampiriku." Abang..tolong kami..tayar kereta kami pecah, tayar 'spare' pun tiada angin," orang itu merayu sambil menghulurkan tangan. Aku menyambut salamnya dan terus berkenal-kenalan. " Kalau macam tu, keluarkan tayar 'spare' dan kita pergi pam di pekan Gerik, anak dan isteri Mat naik sekali kereta saya" ujarku mempelawa Mat dan keluarganya. Kami ke pekan Gerik dalam keadaan berempit-rempit. Apabila sampai di pekan Gerik, tayar yang dibawa bersama diisikan angin . Isteri dan anak-anakku bersama isteri dan anak Mat terpaksa menunggu kami di masjid jamek pekan Gerik.Maghrib hampir tiba. Kami solat maghrib di masjid jamek pekan Gerik.
    Aku dan Mat kembali ke tempat kereta yang kami tinggalkan di tepi lebuhraya timur barat. Waktu itu suasana keliling sudah gelap gelita. Aku terpaksa menyuluh dengan mengguna lampu keretaku ke arah kereta Mat supaya Mat dapat memasang tayar keretanya.Perasaan takut mula timbul, maklumlah di tengah hutan rimba binatang buas seperti harimau dan gajah mungkin boleh datang mencari mangsanya. Petua orang tua-tua masih tersimpan dalam benakku, "apabila berada dalam hutan rimba jangan sekali-kali bercakap besar atau mempermainkan kata-kata yang ada hubungkait dengan binatang buas, terutama sang gajah."
    Tayar kereta Mat selamat dipasang. Kami kembali semula ke pekan Gerik. Mat dan keluarga sangat gembira dan mengucapkan terimakasih atas pertolonganku. "Terimakasih bang..ambillah sedikit duit minyak ni," Mat menghulurkan salam sambil menghulur sejumlah wang. " Sama-sama..tak perlu duit ni..ini pertolongan ikhlas dari saya," balasku sambil mengembalikan sejumlah wang yang diberikan kepadaku. " Hari ni saya tolong Mat..mana tahu satu hari nanti Mat pula akan tolong saya," balasku. Isteri Mat bersalaman dengan isteriku. " Terimakasih kak" kata isteri Mat. " Sama-sama..hati-hati dijalanraya." nasihat isteriku. Mat dan keluarganya meninggalkan kami untuk pulang ke Kelantan.
    Selang beberapa tahun,sewaktu aku membawa isteri ke sebuah klinik swasta di Taiping.Tiba-tiba datang sebuah lori dari arah hadapan mengeluarkan seketul objek ke arah cermin keretaku. Rupanya seketul batu yang terpelanting menimpa cermin keretaku. Apa lagi  habislah pecah berderai cermin keretaku. Aku masih ingat pesan bapa mertuaku, "kalau pecah cermin jangan buka tingkap nanti kaca yang halus akan masuk ke dalam kereta". Lori yang membawa batu itu, terus berlalu begitu sahaja.Aku membawa kereta perlahan-lahan dan berhenti di sebuah gerai menjual durian di Changkat Jering. Penjual durian memerhatikan gelagatku. " Apa kena dik..cermin pecahke?" tiba-tiba penjual durian bertanya lalu menghampiriku." Ye..bang, tadi saya berselisih dengan lori membawa batu, seketul batu jatuh ke cermin kereta saya....bolehke abang tolong..saya nak bawa isteri ke klinik swasta di Taiping..isteri saya ni turun darah," rayuku kepada penjual durian. Aku bersalaman dan berkenal-kenalan dengan penjual durian.Penjual durian membahasakannayn dengan panggilan abang Lan." Oh..kalau begitu..kereta adik tinggal di sini, nanti abang gantikan cermin..adik dan isteri adik saya hantar ke klinik," balas abang Lan yang bersimpati terhadap nasib malangku.Aku dan isteriku dihantar abang Lan ke klinik swasta di Taiping dengan menaiki van duriannya.Hujan turun dengan lebatnya petang itu.
     Tepat jam 4.00 petang ,isteriku selamat mendapat rawatan diklinik swasta dan abang Lan pula selesai memasangkan cermin keretaku di sebuah bengkel kereta. Aku membayar semua bayaran kepada abang Lan berdasarkan resip yang diberikan kepadaku.Aku bersalaman dengan abang Lan sambil menyelitkan sejumlah wang untuk dihulurkan kepada abang Lan sebagai wang sagu hati kepada abang Lan. " Tak perlu adik..hari ni hari adik..mana tahu satu hari nanti hari abang pula, pertolongan abang ni  ikhlas" Abang Lan menolak sumbanganku.Aku dan isteri mengucapkan terimakasih selangit kepada abang Lan yang begitu mulia hatinya. Budi baik abang Lan tetap dikenang selama-lama.Budimu Tuan rasa nak junjung.

Monday, February 14, 2011

Pementasan Terakhir

Persatuan Belia MAYC Kg. Bendang Kering bersidang kali ke 3. Mesyuarat itu telah memutuskan akan menganjurkan satu aktiviti untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung persatuan. Aktivitinya menjurus ke arah pengembangan budaya Malayu melalui pementasan. AJK pengelola telah dibentuk bagi mempastikan pementasan ini berjalan dengan lancar. Acara persembahan seperti lakonan, boria, nyanyian, pembacaan sajak ,lawak jenaka dan tarian Melayu asli mahu dipaparkan dalam pementasan itu.
     Cikgu Halim selaku pengerusi persatuan berharap semua AJK dapat melaksanakan tugas tanpa kecacatan.Semua ahli belia Kg. Bendang Kering bergabung tenaga mendirikan pentas, membuat latihan dan pelbagai persiapan. Tiang pentas dibuat daripada batang pinang dan lantainya daripada papan. Atap pentas daripada zing. Dindingnya daripada kain dan guni. Tabir pentas daripada kain yang berwarna-warni." Cikgu.. lampu pentas dan sekeliling padang saya sediakan." celah Haizerman menawarkan kepakarannya. " Terima kasih ...Man.. bertambah serilah pementasan kita tahun ni," balas Cikgu Halim menerima tawaran Haizerman. " Tam..macam mana persembahan pentas," tanya Cikgu Halim kepada aku yang ditugas sebagai AJK Persembahan. " Semua beres cikgu..para belia dan beliawanis telah berlatih..siang dan malam," ujar aku kepada Cikgu Halim. " Boria dan sajak....macam mana," tanya Cikgu Halim lagi. " Ji, Asma, Yam, Jawa, Timah dan semua yang terlibat telah berlatih bersungguh untuk persembahan boria dan saya sendiri akan membaca sajak bertajuk Kg. Bendang Keringku Indah Permai  dan Asan ahli belia yang kacak sebelah saya ni, akan meniup seruling semasa saya membaca sajak " sambungku menjawab pertanyaan Cikgu Halim.
      AJK Jualan Makanan yang bertanggungjawab menjual makanan dan minuman telah menyediakan gerai jualan. AJK Jualan tiket untuk menyaksikan pementasan telah menyediakan kaunter jualan tiket di tepi padang sekolah.Tiket bayaran masuk dikenakan sebanyak 30 sen seorang. Pasukan polis diminta mengawal keselamatan sepanjang malam pementasan . Pasukan polis membenarkan masa pementasan bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam. " Cikgu Halim...bolehke kami nak tumpang buat persembahan malam ni di kampung cikgu," tiba-tiba muncul suara daripada salah seorang  pemuda yang datang berempat dari kampung berdekatan menawarkan diri untuk membuat persembahan.. " Persembahan apa?" tanya Cikgu Halim. " Kami ada 3 gitar karen dan 1 drum..kami boleh bermain gitar karen....persembahan pementasan cikgu malam ni lagi lebih menarik," jelas salah seorang pemuda itu. Kami yang sedang bersiap sedia untuk persembahan malam itu merenung sesama sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala apabila Cikgu Halim memandang ke arah kami. Bahasa isyarat itu difahami Cikgu Halim. " Minta maaf..pesembahan kami lebih mengutamakan kesenian  budaya Melayu....lagi pun masa persembahan kami pun begitu padat," Cikgu Halim menolak tawaran keempat-empat pemuda itu." Tak apa le cikgu.." Keempat-empat pemuda meninggalkan kami dengan wajah yang hampa dan marah.
      Cuaca malam pementasan itu, begitu baik. Ramai penonton datang dari seluruh pelusuk daerah ini. Kutipan tiket amat memuaskan. Jualan laksa paling laris pada malam itu. Persembahan boria dengan pakaian sedondong cukup menarik. Drama lakonan Man Cina dan rakan-rakannya yang bertajuk Cucu Cicit Jebat amat mengkagumkan. Tarian inang dan zapin daripada belia dan beliawanis cukup mengasyikkan. Nyanyian lagu Melayu asli, lagu pop yeh-yeh , lagu-lagu 70an dan lagu-lagu 80an didendangkan dengan iringan Pancaragam Puspa Dewi Kg, Bendang Kering. Abang Mat Hadri menyanyikan lagu Di Ambang Sore yang dipopularkan Dato 'Ahmad Jais. Abang Mat Hadri pernah mendapat naib johan dalam pertandingan lagu yang dianjurkan oleh RTM. Johan ketika pertandingan itu adalah Dato' M.Daud Kilau.Tiupan seruling dari Asan yang begitu syahdu dan mendayu mengiringi sajak ciptaanku." Kg. Bendang Kering Indah Permai, Di sini tempat aku dilahirkan, di sini tempat jua aku dibesarkan...." ku baca untaian sajak hingga ke bait terkahir. Tepukan gemuruh menamatkan pementasan jam 12.00 tengah malam.
      " Hoi..siapa yang pecah tayar kereta aku," terdengar tempikan dari jalan raya. " Aku pun kena ni..sapa pecah tayar kereta ku," satu suara lagi terdengar di tengah orang ramai yang berpusu-pusu hendak pulang.Cikgu Halim dan Ketua Kampung terus meghampiri suara itu. Setiausaha persatuan iaitu Cikgu Syed, aku dan beberapa AJK lain bergegas mengekori Cikgu Halim. Pasukan polis ada di situ sedang menasihati kedua-dua orang yang malang itu, agar bersabar. Aku melihat sendiri memang perbuatan khianat daripada seseorang. Orang itu memasang paku yang diasah begitu tajam di atas sekeping papan.Orang itu menahan papan yang berpaku itu dibawah tayar hadapan dan belakang kereta. " Saya minta Ketua Kampung, Cikgu Halim, Setiausaha dan AJK, datang ke balai polis malam ni," tegas salah seorang pasukan polis yang bertugas pada malam itu.Adakah perbuatan khianat itu daripada keempat-empat pemuda itu?..mungkin..pasukan polis terus menyiasat

Saturday, February 12, 2011

Main Hantar-Hantar

Sejak awal Ramadan, Asan mula mengumpul tempurung. Asan satu-satunya anak lelaki Mak Itam Temah dan Pak Abu Talib. Tempurung dipungut dan dikumpul untuk dijadikan panjut. Panjut tempurung  akan dipasang keliling rumah. Panjut tempurung diselang seli dengan panjut buluh. Suasana Ramadan begitu indah. Indah di laman rumah dan indah laluan ke masjid. Ramai penduduk kampung yang memasang panjut. Ada juga yang membuat panjut daripada tin susu dan tin ikan sadin. Sumbu pelita panjut dibuat daripada kain buruk atau tali guni.Pelita panjut menggunakan minyak gas atau minyak tanah. Kemeriahan Ramadan memang dinanti-nantikan seluruh penduduk kampung.
     Jiran Asan, Ji dan Asma sudah bersedia dengan juadah berbuka puasa. Kuih-muih untuk berbuka puasa seperti pelita talam, limas, puteri mandi, bubur gandum, bubur gunting dan pelbagai kuih-muih yang enak akan dihidang untuk juadah berbuka puasa.Pak Cik Di bapa kepada Asma yang begitu handal mencipta kuih muih sering mengajar anak-anak dan jiran membuat kuih muih untuk juadah berbuka puasa. Bubur gunting adalah ciptaan Pak Cik Di. Kadang-kadang kuih-muih dan bubur dihantar ke rumah jiran. " Ma..ma..apa kata kita anto kuih ke rumah Asan malam ni " ujar Ji kepada Asma. " Aku takut nanti Asan kejo aku." Asma menolak cadangan Ji. " Tak ape....kita jangan bagi tahu dia, kita anto lepas Maghrib" Ji cuba menyakinkan Asma. "Habeh..nak anto macam mana, dia tak tahu kita yang anto" Asma masih kurang yakin. " Ikut aku..nanti aku cari pelepah pisang..masa kita letak kuih di depan tangga rumahnya....kita pukul kuat-kuat pelepah pisang..Asan akan buka pintu..kita larilah.." balas Ji untuk menyakinkan Asma.
    Apabila azan Maghrib bergema..Ji dan Asma berbuka puasa.Malam itu Asma berbuka puasa di rumah Ji. Satu talam kuih muih yang bertutup dengan sange sudah sedia untuk di hantar ke rumah Asan. Ibu dan Ayah Ji tidak tahu apa yang telah dirancang oleh anaknya dan Asma. Selepas berbuka puasa mereka solat berjamaah. Ayah Ji solat di masjid. Asan sudah mengesyaki  sesuatu akan berlaku kerana dia nampak Ji dan Asma memotong beberapa pelepah pisang. Asan juga bersedia kalau-kalau ada berlaku sesuatu.di luar jangkaannya.
    Maghrib telah berlalu, Ji dan Asma keluar pelahan-lahan dari rumah terus menuju ke rumah Asan. Asan nampak dua bayangan lembaga menuju ke rumahnya. " Bulan puasa mana ada hantu..semua hantu syaitan sudah diikat" bisik hati Asan untuk menghilangkan rasa takut. Dua bayangan lembaga itu kian hampir. Asan bersembunyi di balik pero di bawah rumah. Kebetulan dekat pero ada kerancah yang belum dicuci. Asan menggosok perlahan-lahan arang yang terdapat pada kerancah.Kedua-dua bayangan lembaga itu meletakkan sesuatu di hadapan tangga rumah Asan. Kemudian kedua-dua lembaga itu memukul dengan menggunakan sesuatu. " Lepak-lepak-lepak.." bunyi pukulan bertalu-talu. " Orang nganto..orang nganto " teriak Ani dan An, kedua-dua kakak Asan dari dapur. Mak Itam Temah membuka pintu " Hoi..orang nganto koi.orang nganto koi...kejo-kejo " sorak Mak Itam Temah . Asan  terus mengejar dan menangkap lalu melumuri muka Ji dan Asma dengan arang kerancah. Ji dan Asma dapat melepaskan diri lalu lari pulang ke rumah. Inilah satu-satunya permainan bagi mengeratkan hubungan jiran dikampungku yang kini tidak berlaku lagi. TV9 pernah mengumpul khazanah budaya ini.."Main Anto-Anto " ..Main Hantar-Hantar untuk tatapan rakyat 1 Malaysia. Pelakon utama di TV9 iaitu Abang Mat Hadri dan Kak Semilan..dan ramai lagi.Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

Saturday, February 5, 2011

Angkara Bunga Api

Lima hari lagi 1 syawal akan menjelang tiba. Haris dan Harman telah berkira-kira untuk membeli bunga api. Harga bunga api di sini terlalu tinggi.Bunga api ini akan dihadiahkan kepada adik-adik mereka untuk bermain pada Malam 27 Ramadan .Mereka mengambil keputusan akan membeli bunga api di negara jiran. Harganya lebih murah jika dibandingkan dengan harga pasaran tempatan. Apatah lagi di negara jiran ada dua gadis telah menunggu kedatangan mereka. Mereka telah mengenali kedua-dua gadis itu semasa gadis itu bekerja di negara ini. Ini peluang terbaik kedua-dua adik beradik itu ke negara jiran sambil membeli bunga api." Buat ape kamu Haris, Harman ke negeri orang mencari bunga api, di pekan kita sini pun banyak bunga api" nasihat ibu setelah kedua-dua adik beradik memohon kebenaran ibu mereka." Haris dan Man nak melancung bu " balas Haris. " Melancung ke melencung " ibu menyindir kedua-dua anaknya yang sering berulang alik ke negara jiran." Lagi pun ibu kami nak belikan bunga api untuk adik-adik" sampuk Harman. " Lantak kamu le Man, orang bulan puasa ni banyak beribadat, tapi kamu berdua ni banyak bersubahat" tegur ibu. " Subahat ape bu, kami kan buat jahat, kami cuma nak jalan-jalan aje" balas Haris. Ibu terus ke dapur setelah selesai melipat kain di anjung rumah. Haris dan Harman berpandang-pandangan sambil menonton televisyen.
   Mereka berdua tidak memperdulikan nasihat ibu. Haris mengambil kunci kereta dan terus ke garaj kereta.        " Jom Man kita pergi.... mak..kami pergi " Haris mengajak Harman sambil memohon kebenaran kepada ibu. Ibu sebok memasak juadah berbuka puasa. Haris dan Harman meninggalkan perkarangan rumah dan terus ke negara jiran. Mereka menggunakan "border pass" untuk keluar masuk ke negara jiran. Sampai di negara jiran pihak berwajib negara itu menahan kereta mereka. Apabila digeledak didapati ada dua tiub benda haram. Mereka berdua ditahan dan dipenjara. Mereka merengkok dalam penjara semasa takbir 1 syawal bergema. Ibu dan seluruh keluarga menangis atas nasib malang yang menimpa ke atas Haris dan Harman. Hari Raya tahun itu menjadi suram. Syurga di bawah telapah kaki ibu. Nasihat ibu ada azimat dan ada hikmahnya.
   Kedua-dua gadis yang sedia menunggu kedatangan Haris dan Harman terkejut mendengar berita tertangkapnya rakan mereka. Mereka datang menziarahi Haris dan Harman di penjara. Mereka membawa makanan dan minuman. Bapa dan ibu Haris dan Harman tidak mendiamkan diri. Mereka menghubungi pihak berwajib di negara jiran. Pihak berwajib membenarkan ikat jamin bersyarat . Mereka berdua dibenarkan keluar penjara dengan bayaran RM31,000.00 setiap seorang dan perlu melapor diri seminggu sekali. Bapa dan ibu Haris dan Harman terpaksa menjual tanah bagi mendapat wang sejumlah itu bagi mambayar ikat jamin kedua-dua orang anaknya.Semasa di mahkamah negara jiran seseorang telah menasihati bapa agar berhati-hati dengan sindiket meletakkan benda haram itu ke dalam kereta. Mungkin Haris dan Harman terinaya atau..... Belilah barang-barang tempatan lebih selamat dan membantu pembangunan negara.

Thursday, February 3, 2011

Musim Berikan

Air bendang yang bertakung selama enam bulan membolehkan ikan, udang, siput dan pelbagai hidupan air membiak dengan banyak. Ikan air tawar seperti haruan, keli, puyu,sepat,patung dan bujuk membiak di kawasan paya. Udang dan siput membiak di kawasan alur dan tepian bendang. Aku dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang ini untuk menahan taut dan memancing ikan di bendang. Sebelah petang apabila pulang dari sekolah aku dan kakak menaiki perahu mengail ikan di kawasan paya. Yop menahan taut di tepian bendang kerana ikan haruan akan berada di tepian bendang pada waktu malam. Umpan taut biasanya menggunakan anak ikan atau anak katak.Anak ikan atau anak katak yang masih hidup akan dicangkuk dengan mata kail di belakangnya supaya ia melompat-lompat dalam air yang boleh menarik perhatian ikan yang lebih besar. Kakak mengail puyu menggunakan umpan cacing atau udang.....
     Belum sempat malam ikan haruan mula menyambar umpan. "Wit,wit,wit,wit.." kata yop sambil meraduk dan mengejar ke arah taut yang sudah mengena. Ikan haruan itu bagaikan faham Bahasa Inggeris yang membawa maksud nanti,nanti .."wait,wait..". Taut yang sudah disambar ikan terhenjut-henjut dalam air sawah. Yop terus menangkap ikan haruan sambil mematahkan tulang di bawah kepala haruan. Keesokan pagi hampir semua taut yang ditahan yop disambar ikan haruan.
     Ibuku selepas solat subuh terus mengambil tangguk yang dibuat daripada buluh,kulit bertam dan rotan lalu pergi ke sawah menghala ke alur-alur yang terdapat dalam sawah.Ibu ditemani jiran yang turut menangguk udang  di aluran sawah. Aluran sawah lebih dalam daripada petak-petak sawah.Udang dan ikan berkumpul dalam aluran sawah. Apabila selesai menangguk udang ibu akan pulang ke rumah. Sampai di rumah kakak akan menyukat udang yang dipungut dengan menggunakan tin susu.Udang yang dipungut akan dijadikan lauk pauk dan selebihnya akan dijual. Satu tin susu udang akan dijual dengan harga 50 sen.Udang dibungkus dengan daun keladi.
    Apabila genap enam bulan air bendang akan dikeringkan kerana para petani akan memulakan tanaman padi. Empangan dihujung sawah akan dibuka jebaknya.Ayah yang bertanggungjawab membuka jebak empangan membuka satu persatu papan yang menahan air melimpah sebelah jebak.Orang kampung bersorakan apabila jebak empangan dibuka. " Hoi...moh.. kita weh ke bendang..jebak empang sudah dibuka Tok Pawang" kata salah seorang yang sedang menunggu ditepi sawah. Orang kampung turun ke sawah sambil membawa serkap,jala,tangguk, kurung batang,bubu, timba, golok, parang dan pelbagai alat menangkap dan menyimpan ikan. Apabila jebak diangkat, air sawah menjadi kering. Orang kampung berpesta disawah menangkap ikan. Ada juga yang disengat ikan keli. Meraung kesakitan. Inilah pesta yang dipanggil Musim Berikan dikampungku.

Wednesday, February 2, 2011

Rendang Belalang

Hujan turun dengan lebat. Kilat sabung menyabung. Guruh gemuruh berdentum di langit. Para petani menanti hujan soyat.Apabila hujan soyat para petani akan turun ke sawah dengan menaiki perahu dan rakit buluh. Aku bersama kakak dan yop tidak melepaskan peluang turun ke sawah menangkap belalang. Kami membawa botol untuk mengisi belalang yang di tangkap. Para petani berkuwo bersahut-sahutan turun ke sawah. " Huuu...Moh..kita weh tangkap belalang, belalang dah basah kepaknya" kata yop kepada jiran di sebelah rumahku. " Huuu....Moh..moh yop, malam ni kita makan rendang belalang" balas Man jiran ku. Kami hidup berjiran seperti satu keluarga.
  Sampai di sawah kami berkejar-kejaran di kawasan sawah yang dipanggil cangkat dan kurang berair untuk menangkap belalang. Perahu dan rakit di tinggalkan di kawasan bertakung air. Lintah dan pacat sudah menjadi mainan kami. Tapi agak geli sedikit jika digigit lintah paya yang bersaiz besar dan panjang.Biasanya belalang yang kami tangkap adalah belalang beras, belalang kepak dan belalang rusa. Belalang beras bersaiz kecil. Belalang kepak bersaiz besar dan belalang rusa bersaiz sederhana. Belalang kunyit yang bersaiz besar  jarang ditemui di kawasan sawah.Belalang biasanya selepas hujan mudah ditangkap sebab kepaknya sudah basah dan sukar untuk terbang.
   Setelah penuh botol dengan tangkapan belalang.Kami terus pulang ke rumah dan menyerahkan kepada ibu. Man jiranku juga menyerahkan tangkapan belalangnya kepada ibunya.Ibu akan memasukkan air panas ke dalam botol yang dipenuhi belalang.Kesemua belalang habis mati. Ibu menuangkan belalang ke dalam talam. Kami bertiga berebut-rebut membuang kepak dan ketih belalang. Belalang yang menjadi togel diserahkan semula kepada ibu untuk dimasak supaya menjadi rendang belalang. Hoi...sedapnya redang belalang. Cubalah,  mana tahu satu hari nanti apabila makanan kita berkurangan mungkin kita kembali makan belalang sebagaimana berlaku di kampungku sekitar tahun enam puluhan..zaman pop yeh-yeh le katakan..

Tuesday, February 1, 2011

Dua Kali Tertipu

Keputusan SRP kini PMR agak cemerlang bagi seorang pelajar di kampungku. Ayah dan ibu sangat gembira. Wang RM20.00  dibekalkan ayah untuk membeli buku Kajian Tempatan. Aku keseorangan melangkah kaki ke bandar diraja. Aku mengayuh basikal dan menaiki bot untuk sampai ke bandar diraja. Aku membeli buku Kajian Tempatan sebagai persediaan ke Tingkatan 4 Sains. Aku satu-satu anak kampung yang terpilih ke aliran Sains. Cita-citaku nak jadi seorang jurutera.
    Aku singgah berhenti rehat di hadapan sebuah hotel. Sedang aku berehat datang seorang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluhan dengan berpakaian comot dan matanya agak juling menghampiriku. Sikap mesra dan ramahku terus aku menegur orang itu. " Abang nak ke mana " tanya aku kepada orang itu. " Abang sedang menunggu lori ubi, hari ni abang dapat gaji" jawab orang itu yang cuba memikat hatiku."  Abang kerja apa" tanyaku lagi. "Abang kerja memunggah ubi kayu dari lori, itu sebab pakaian abang ni kotor" balas orang itu yang cuba meyakinkan aku.",  Abang ni ketagihkan rokok, adik ada duit RM3.00, abang nak pinjam sekejap, nanti abang dapat gaji, abang ganti dua kali ganda" orang itu menyambung perbualan dengan menawarkan wang berganda. Aku mula terpikat dan terus menghulurkan wang sebanyak RM3.00. Wang baki membeli buku Kajian Tempatan dan wang yang dipinjam orang itu tinggal RM12.50. Orang itu terus membeli sekotak rokok lalu menghisap rokok di hadapanku. "Buku apa tu adik " orang itu bertanya lagi. " Buku Kajian Tempatan" balasku. "Buku itu banyak di rumah abang, kalau adik pulangkan ke kedai, abang bagi percuma kepada adik, jom kita pergi ke kedai tempat adik beli tadi" usul orang itu tanpa bantahan aku terus mengekori orang itu. Kedai buku tempat aku beli tadi tidak jauh dari tempat pertemuan kami. Orang itu berjaya mendapatkan wang dengan memulangkan buku Kajian Tempatan. Aku nampak ada pertengkaran kecil antara taukeh kedai dengan orang itu. Wang itu dimasukkan dalam sakunya. Aku macam terpukau. " Adik jom kita pergi kedai basikal, abang ada janji dengan taukeh kedai nak belikan basikal untuk adik abang, adik ada duit sikit sebab abang nak bayar wang pendahuluan, adik jangan takut, abang ganti dua kali ganda" orang itu terus meminjam dan menawar ganti berganda. Aku terus percaya dan terus menghulurkan semua wang baki kepada orang itu. Sampai di kedai basikal, orang itu menyuruh aku tunggu di hadapan kakilima kedai dan dia masuk ke dalam kedai menghilangkan diri. Baru aku sedar, aku telah tertipu. Wang tambang untuk pulang menaiki bot terpaksa aku pinjam daripada seorang penjual roti yang sering datang ke kampung." Terimakasih abang Isa " aku mengucapkan terimakasih  kepada abang Isa yang menghulur wang 10 sen untuk tambang bot menyeberangi Sungai Perak. Perasaan sedih bercampur takut. Sedih kerana ditipu dan takut nanti aku dimarahi ayah.
     Aku pulang ke rumah memberitahu peristiwa malang itu kepada ibu dan ayah. " Keputusan SRP cemerlang tapi tak kenal orang baik orang jahat" ayah memarahiku. Aku mohon maaf kepada ayah dan ibu. Rakan-rakan karib ku Hot, Man, Hassan, Din, Asid, Puad, Murad datang ke rumahku yang turut merasa marah bercampur geram terhadap orang itu dan bersimpati nasib malangku. Keesokan pagi kami lapan sekawan ke bandar diraja mencari orang itu  tetapi tidak ditemui. Rupanya banyak orang yang tertipu sebelum ini hasil tinjauan kami. Awasi jika orang yang tidak dikenali yang cuba menghampiri, menawarkan sesuatu hadiah dan peluang atau cuba  berkenalan dengan kita. Mereka ada tujuan yang boleh memukau kita hingga kita lalai dan alpa yang mengakibatkan kita tertipu atau diperdaya sehingga boleh menyusahkan diri dan keluarga. Geram sampai ke hari ini di mana orang itu yang bermata belek,kulit gelap dan berbadan pendek...menghilangkan diri dalam kedai basikal..

Saturday, January 29, 2011

Anak Ayam

Haiwan yang paling laju di dunia adalah anak ayam. Kenapa? Bunyinya berciap. Benda yang beciap adalah paling laju. " Ciap-ciap, ciap-ciap " anak ayam menangis jatuh ke dalam longkang. Ibunya ke hulu ke hilir ingin membantu tetapi tidak berdaya." Kok-kok-kok " ibu ayam minta anaknya bersabar. Anak ayam terus menangis. Anak-anak yang lain turut bersimpati dan mengekori ibunya. Kemudian lalu seekor kucing. "Apa yang berlaku Cik Yam" tanya kucing kepada ibu ayam. " Anak aku jatuh dalam longkang, tolonglah ambilkan anak aku " ibu ayam minta bantuan kepada kucing. " Tak boleh Cik Yam sebab taring aku ini kalau terasa darah anak kamu terus aku makan" kucing memberi alasan. " Matilah anak aku dalam longkang,  tolong-tolong " ibu ayam meminta simpati. Tiba-tiba muncul seekor tikus.Kucing menjeling sang tikus. " Apa yang berlaku Cik yam " tanya tikus. " Tolonglah tikus kau naikkan anak aku ke atas, anak aku jatuh dalam longkang. " Ciap-ciap, ciap-ciap " anak ayam menangis. " Aku boleh tolong anak kamu tapi aku minta Cik Ku tu jauh sikit dari kita sebab nanti dia makan aku" kata tikus yang takutkan kucing." Hoi.. Cik Ku tolonglah kamu beredar dari sini sebab tikus nak tolong anak aku" ibu ayam merayu kepada kucing. " Baiklah Cik Yam demi keselamatan anak kamu biar aku pergi jauh" kucing beredar meninggalkan tempat itu.
     " Baru lega rasanya... sekarang Cik Yam ingat tak cerita rakan kita Cik Gagak yang kehausan di padang pasir bertemu dengan sebiji labu air yang mengandungi air yang sedikit, macam mana dia mendapatkan air itu" cerita tikus kepada ibu ayam. " Ya.. dia masukkan beberapa biji batu ke dalam labu, air dalam labu itu naik ke permukaan, akhirnya Cik Gak dapat minum dengan sepuas-puasnya" jawab ibu ayam. " Begitu juga anak kamu yang jatuh tu, masuk beberapa ketul batu dalam longkang, aku percaya anak kamu dapat naik ke atas" tikus begitu yakin cadangannya. " Tapi..macam mana kita nak menggolekkan ketulan batu sedangkan kaki dan paruhku kecil dan badan kau pun kecil" balas ibu ayam. " Kita minta bantuan Cik Ku..tapi sebelum itu biar aku beredar" kata tikus. " Terimakasih Cik Tik " kata ibu ayam
     " Cik Ku...Cik Ku tolong aku..Cik Tik ada idea nak tolong anak aku" laungan ibu ayam .Tidak berapa lama, kucing datang membantu menaikkan anak ayam dengan memasukkan beberapa ketulan batu dan anak ayam sangat gembira. " Terimakasih Pakcik Ku"..anak anak ayam bersyukur dan  berciap kegembiraan. Hidup saling bantu membantu dapat mengeratkan perpaduan. Kerja yang berat menjadi ringan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ibu ayam terus mencari makan bersama-sama anak-anaknya.

Hantu Raya

Cerita orang hantu itu tak nampak.Kalau jumpa hantu, tonggeng ke belakang dan tengok melalui celah kangkang kita akan nampak hantu itu tergantung-gantung tidak memijak bumi.Hantu sangat hodoh dan menakutkan.Hantu yang terdapat di kampung biasanya disebut hantu raya dan hantu punjut atau hantu pocong. Hantu raya berbadan besar dan tinggi. Hantu punjut berbadan seperti manusia yang memakai pakaian kafan. Cerita-cerita ini menakutkan aku untuk keluar malam. Kalau keluar malam, ibu akan melarang dan akan menakutkan aku dengan kata-kata " keluarlah nanti jumpa hantu ". Kata-kata itu dapat menyelamatkan aku daripada keluar malam.
   Suatu senja aku dan Recu duduk dipangkin halaman rumahku. Aku terdengar bunyi gesekkan dedaun kering. "Apa tu Recu,kau tengok di belakang kita" celah aku bercampur rasa takut. Recu memandang ke belakang dan terus belari ke bawah rumah. Aku pun turut lari. Recu seorang pemuda yang berani. Dia mengambil kayu-kayu getah di dalam celong di bawah rumah lalu membaling ke arah satu lembaga putih yang sedang menggesek dedaun kering. Apabila sampai ke arah lembaga putih itu. Lembaga itu telah hilang. Recu tidak percayakan hantu. Recu dan aku terus ke rumah Pakcik Di jiran  di sebelah rumahku. Pakcik Di sedang menggosok kain.Kami masuk ke rumah Pak Cik Di. Recu terus mencari sesuatu di rumah Pak Cik Di. "Apa kamu cari Recu" Tanya Pakcik Di sambil menggosok kain. " Tadi kan Pakcik yang menyakat kami" balas Recu. "Takkanlah Pakcik nak sakat kamu, Pakcik tengah seterika kain ini" jawab Pakcik Di. " Tadi Pakcik kami nampak hantu dekat rumah saya, kami sangkakan Pakcik pakai kain sembahyang Mak Oteh, kemudian menyakat kami" jelas aku kepada Pakcik. " Itu le, waktu maghbrib orang sembahyang, tapi kamu berdua asyik bersembang aje " satu pukulan kepada kami. Kami tak menjawab dan membisu.
    " Pakcik malam ini kita nak masak apa " tanya aku kepada Pakcik. Pakcik Di seorang yang rajin dan pandai memasak pelbagai juadah dengan tujuan untuk mengumpul para belia pada waktu malam." Kita buat cucur bawang Pakcik" sampuk Recu. " Boleh..pergi beli tepung, minyak dan sos cili " balas Pakcik Di. Recu dan aku terus mengayuh basikal membeli keperluan untuk juadah cucur bawang di sebuah kedai runcit yang tidak berapa jauh dari rumah Pakcik Di. Apabila kami pulang dari kedai, di pertengahan jalan berhampiran rumahku, aku nampak satu lembaga putih setinggi tujuh kaki. Recu menyuluh arah lembaga putih dengan lampu basikal. Wajah yang sempat aku lihat sangat hodoh dengan memakai pakaian kapan orang mati dan kakinya tidak memijak bumi. Recu dan aku melepaskan basikal dan barang-barang yang dibeli. Kami berdua lari lintang pukang ke rumah Pakcik Di. "Pakcik, pakcik buka pintu" dengan nada ketakutan kami mengetuk pintu rumah Pakcik Di. "Masukle pintu tak berkunci" balas Pakcik selamba. "Ngapa kamu berdua ni terhungap-hungap' tanya Pakcik Di. " Kami jumpa hantu Pakcik" jawabku terketar-ketar. " Habis..mana tepung,minyak yang aku suruh beli" tanya Pakcik Di lagi. "Dah kami buang dekat rumah Tam" kata Recu.Malam itu kami berdua tidur di rumah Pakcik Di kerana takut balik ke rumah.
    Keesokan pagi kami berdua berjumpa dengan Yeop Noad. Yeop Noad seorang bomoh kampung. "Yeop, semalam kami berdua jumpa hantu yang tingginya lebih kurang tujuh kaki"  aku maklumkan kepada Yeop Noad. "Di mana kamu jumpa" tanya Yeop Noad. "Dekat rumah Tam"  balas Recu. "Oh..itu hantu raya yang tengah mencari tuannya, mungkin tuannya dah mati" Yeop Noad menajawab selamba. " Jangan berjalan malam nanti  berjumpa hantu lagi" Nasihat Yeop Noad kepada kami. Cerita-cerita yang disiarkan dalam media massa seperti televisyen wajar diteruskan walaupun ada unsur khurafat tetapi ada kebaikan supaya anak-anak muda  tidak keluar malam dengan tujuan merempit atau berfoya-foya yang banyak membazirkan masa muda mereka.Kalau di luar negara pihak berkuasa dan berwajib melarang anak-anak muda bersidai di tepi-tepi jalan melebihi jam 10.00 malam.

Siak

Saban hari tugasnya membersihkan kawasan dalam dan luar masjid. Ini termasuk membentang dan menggulung sejadah utama yang biasa digunakan imam dan makmum kecuali hari Jumaat memerlukan saf yang banyak. Solat lima waktu kadang-kadang lebih tiang masjid daripada makmum.Siak cuma menyediakan satu atau dua saf untuk makmum. Majlis ilmu semalam seorang penceramah memberitahu bahawa tanda-tanda orang beriman itu adalah jiwa dan hatinya sentiasa terpaut kepada masjid. Makmum yang hadir menunaikan solat masih di takuk lama dan boleh dibilang dengan jari. Suasana di desa yang rata-rata dihuni warga emas semakin hari semakin berkurangan. Ada yang meninggal dunia dan ada yang  mencari surau yang berdekatan rumah. Kebanyakan belia sebok dengan menunggang motorsikal, memancing ikan, caber cafe dan permainan di padang. Ada juga yang menyambung permainan futsal di sebelah malam. Siak terus menjalankan amanah dengan membersih sejadah takut-takut ada najis cicak yang bertaburan dalam masjid. Siak menggunakan penyapu lidi dan tempat pengaut sampah untuk membuang najis cicak ke luar tingkap. Sawang yang terbentuk dari himpunan habuk di sarang labah-labah disapu siak pada setiap minggu.Terutama pada hari Jumaat, siak membersih kelodak dalam kolak tempat mengambil wuduk setiap malam Khamis selepas solat isyak.Kadang-kala isteri siak turut membantu  membersihkan masjid. Hari Jumaat penghulu segala hari, ramai jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat. Ini termasuk kanak-kanak yang duduk di saf akhir atau belakang. Siak mengeluarkan sebilah rotan berdiri di belakang kanak-kanak. Jika ada kanak-kanak yang bercakap atau berbual semasa khatib membaca khutbah, siak akan mengusik kanak-kanak dengan hujung rotan. Kanak-kanak jadi diam dan takutkan kepada siak.Moga-moga jiwa dan hati kanak-kanak terpaut pada rumah Allah. Solatlah anda di belakang imam sebelum anda disolatkan dihadapan imam. Kata-kata hikmat itu terpampang di hadapan masjid.

Wednesday, January 26, 2011

Teramat Takut

Tiba-tiba aku terkejut dari tidur. Semua gelap. Rupanya talian elektrik terputus.Aku meraba-raba keluar dari bilik tidur. Aku tak tahu waktu itu pukul berapa. Dalam hati teringat mungkin ada orang pecah masuk ke rumahku. Maklumlah baru saja selesai kenduri kahwin anak sulung. Siang tadi ada orang bercerita strategi pencuri pecah masuk rumah apabila selesai kenduri kahwin. Sebelum ini pun ada pencuri masuk ke rumahku sewaktu aku di pejabat. Pengalaman ini masih bermain-main dalam benakku. Aku lihat ada api merah menyala di luar bilik tidur. Dekat tingkap aku lihat ada cahaya macam orang mengguna lampu pada telefon bimbit.Pelahan-lahan dengan terketar-ketar aku masuk kembali ke dalam bilik. Aku mengusik isteriku sedang nyenyak tidur. Isteri terkejut. "Ada orang di luar bilik kita" bisik aku perlahan. "telefon jiran minta panggil polis" balas isteriku dengan nada terketar-ketar. Aku tidak menelefon jiran takut didengari pencuri hanya sekadar memberi sms kepada jiran dan anak saudara.Dua orang anak perempuan dan dua anak lelaki sedang nyenyak tidur di bilik mereka.Tiba-tiba telefon berdering. "Ada pencurike dalam rumah, nanti saya panggil polis" jiran membalas sms. Di luar rumah terdengar deringan telefon yang berbeza dengan deringan telefon anak-anakku.Mungkin dia mendengar deringan telefonku.
   Tiba-tiba terdengar tempikan di luar rumah." Mana pencuri,mana pencuri". Aku nampak ada sinaran lampu suluh. Aku cuba membuka tingkap. Mereka terus memanjat pintu pagar yang terkunci. Aku membuka pintu. Sekumpulan Pasukan Sukarela Gerakan Kawalan Kawasan di kampungku terus menggeledah dalam rumahku. Mereka membawa kayu belantan dan lampu suluh. Anak-anak ku terkejut dan bangun dari tidur. Pasukan polis bersama Ketua Balai turut mencari pencuri di sekeliling rumahku.Pencuri mungkin telah lari lebih awal. Api merah yang menyala diluar bilik tidurku tadi adalah lampu telefon yang terlekat pada dinding. Malumlah dah takut macam-macam nampak. Azan subuh bergema. Aku mengucapkan terimakasih kepada Pasukan Polis dan Pasukan Sukarela Gerakan Kawalan Kawasan. Kalaulah dapat diwujudkan Pasukan Sukarela Gerakan Kawalan Kawasan 1 Malaysia pasti semua rakyat Malaysia nyenyak tidur dan selesa meninggalkan rumah.

Wednesday, January 19, 2011

BACALAH SAYANG

Malam itu aku tak dapat melelapkan mata. Cuaca panas siang yang terperangkap menyebabkan terasa bahang nya.Ayah yang bersandar di serambi rumah masih membaca kitab. Ibu terus mengemas bilik. Adik-adik sudah mula tidur. Mereka keletihan kerana bermain pada petang tadi.Buku-buku yang menambun di kepala banyak yang belum aku baca. Peperiksaan hampir tiba. Tiba-tiba terdengar bunyi bergemoyap di ruang dapur. Ibu meluru ke dapur sambil membawa penyapu. "Peh-peh" kata ibu menghalau kucing yang berkelahi di ruang dapur. Habis bergelempangan pingan,talam dan kuali di langgar kucing. Ibu kembali ke bilik. Ayah terus membaca kitab sambil merengut-rengut kecil. " Kamu tu Tam kalau tak mahu tidur baca buku" tegur ayah yang memerhatikan gelagatku. " Panas ayah" balasku sambil membuka selimut. " Bacalah sayang" kata ibu dari dalam bilik.Aku terus mengambil buku dan membaca dengan nada yang agak tinggi. " Ngapa baca kuat sangat tu Tam, nanti semua adik-adik kamu bangkit" tegur ibu. " Tam baca kuat ni bu, kata Cikgu Dollah, malam ni dia akan lalu dekat rumah kita". " Kalau ia pun pelanlah sikit" sampok ayah. " Baik ayah"...