Thursday, November 10, 2011

Tarik Buaian Cucunda Atok

Kelahiran Aidiff menyebabkan ibu berpantang selama 44 hari.Temuni Aidiff telah dicuci dan ditanam di hadapan rumah Atok. Setiap petang Atok membuat ungun api kecil di atas tanah tanaman temuni. "Apabila temuni kering Aidiff tidak menangis", kata Wan Sun yang membersihkan temuni. Temuni dibersihkan menggunakan kapur barus, limau dan air.Hampir 7 petang Atok membuat ungunan api kecil. Ibu Aidiff terus berpantang. Pantang makan,minum dan melakukan sebarang kerja.Malahan keluar rumah pun tidak boleh kecuali ke klinik atau ke hospital. " Mak , mata Aidiff kuning", kata ibu kepada Opah. " Kita bawa ke klinik ", balas Opah. Aidif dibawa ke klinik kemudian ke hospital kerana kuningnya tinggi. Sehari semalam Aidiff di hospital. Kuning mata Aidiff beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
      Opah  membantu ibu menyediakan sebarang keperluan. Atok turut membantu meringankan tugas Opah. Setiap pagi ibu perlu bertungku. Opah akan membakar dua tungku besi selama 15 minit. Tungku yang panas akan dibalut dengan daun lengkuas dan dibungkus dengan kain. Ibu akan bertungku di bahagian perut setiap pagi dan petang selama 44 hari. Ayah Aidiff yang pulang sekali seminggu akan mengambil alih tugas Opah. Ayah bertugas jauh dari kampung Atok.
      Aidiff makin membesar dan ceria. Aidiff menjadi tali pengikat kasih sayang ibu dan ayah. Aidiff menambah ceria rumah Atok dan Opah. Tangisannya ditunggu-tunggu. Gerak gerinya jadi perhatian.Rambut Aidiff telah dicukur sehingga botak. Wajahnya makin ceria. Kini rambut mulai tumbuh tetapi berbelang-belang. Ada bahagian berambut dan yang masih licin tanpa rambut. Kata orang rambutnya dimakan bantal.
      Setelah genap 44 hari ibu berpantang, Atok dan Opah merancang akan membuat Majlis Tarik Buaian. Majlis ini ada juga disebut Majlis Berendoi. Sekitar tahun 60an majlis ini digabungkan Majlis Berzikir. Ada juga orang mengatakan habis pantang buang dapur." Na dah habis pantang, mak nak buat Majlis Tarik Boyan ni dengan Majlis Marhaban" usul Opah dalam perbincangan keluarga. " Dulu Majlis Tarik Boyan didendangkan dengan Majlis Berjikio", tambah Atok. " Apa Majlis Berjikio ayah?" tanya ibu kepada Atok. " Berjikio tu berzikir, biasanya orang lelaki yang berjikio dengan suara yang lantang hingga tegang urat leher", jawab Atok. " Kalau gitu kita buat macam cadangan mak tadi, bukan senang nak cari kumpulan berjikio", balas ibu memutuskan perbincangan keluarga.
      Hari kedua Hari Raya Aidil Adha 1432 Hijrah, Majlis Tarik Buaian dengan dendangan kumpulan marhaban bergema dalam rumah Atok. Aqiqah untuk Aidiff disempurnakan dalam Majlis Korban di pagi hari Raya Aidil Adha. Takbir dan tahlil turut bergema di bawah khemah di hadapan rumah Atok. Ramai jemputan dan jiran memenuhi ruang rumah dan khemah. Aidiff lena dalam buaian.

No comments:

Post a Comment