Thursday, April 28, 2011

Nasyirah



Biodata Penulis
ITAHARMI,  nama pena bagi Itamta bin Harun, PPT., yang dilahirkan di Kg. Bendang Kering,Sayong,Kuala Kangsar,Perak pada 28 Jan,1955. Pendatang baru dalam dunia sastera tanah air dan kini sebagai Setiausaha 2 Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak. Karya pertama beliau termuat dalam  Majalah Dewan Masyarakat yang berjudul ‘Budaya Pop dan Budaya Nasional Perlu Seimbang’ pada 1979. Sejak itu beliau cuba berjinak dalam ganre sastera seperti penulisan sajak,pantun,syair,cerpen dan drama. Beliau memenangi  Naib Johan dalam Pertandingan Mengarang Cerpen sempena Hari Guru Negeri Perak  1983.Beliau juga memenangi Pertandingan Penulisan Skrip Drama sempena Hari Guru Perak 1986. Sajak ‘Cikguku Sayang’ termuat dalam buku Lembaran Efektif STPM B.Malaysia (Kertas 2) 2010.Sebagai seorang pendidik beliau juga terpanggil dalam penciptaan kaedah mengajar di mana beliau mendapat penghargaan  Hadiah Inovasi P&P Individu Sekolah Rendah dalam Kaedah Sigai (Sifir Garis Itamta) sempena Pertandingan Anugerah Gemilang Akademik anjuran Jabatan Pelajaran Perak tahun 2001. Dalam bidang pemidatoan beliau pernah mendapat Johan dalam Pertandingan Debat Kenegaraan K3P ( kini Komuniti  1 Malaysia, dulu Komuniti  Bestari ) Peringkat Negeri Perak dan Naib Johan dalam Pertandingan Debat Kenegaraan K3P  Zon 2 Peringkat Kebangsaan 2004.Beliau merupakan kumpulan pertama (Kohort 1) dalam Program Pensiswazahan Guru Besar di UPSI Tanjung Malim, Perak mulai tahun 2004-2006. Beliau juga dianugerahi Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kuriniaan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah Sultan Perak Darul Ridzuan  sempena Hari Keputeraan Sultan Perak pada tahun 2008. Kini bertugas sebagai Guru Besar di SK. Kati, Kuala kangsar, Perak. http://itaharmi.blogspot.com
*  *  *  *  *  *  *  *   *  *  *  *  *   *  * *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *   *   *  *  *  *  *

NASYIRAH
Oleh : Itaharmi

       Jiwa  Nasyirah telah lama terpenjara. Lidahnya kelu bersuara.  Segala hasrat hati terahsia begitu sahaja.  Betapa pun ia mahu meluahkan hasrat hatinya namun ada saja halangan yang  membelenggu  perasaan dan fikirannya. Hanya titis-titis air jernih yang bersimpati dan dapat mengendurkan sebak dadanya. “Syirah...., tengok anak kamu ni, habis bunga-bunga aku direlasnya”, jerkah ibu dari halaman rumah. Nasyirah yang sibuk menyediakan juadah makan tengah hari di ruang dapur, cepat-cepat keluar rumah lalu mengambil anaknya. Anak Nasyirah yang baru berusia tiga tahun, belum mengerti tentang keindahan dan barang-barang kesayangan orang lain. Nasyirah tidak membalas teguran ibu. Dia tahu ibu memang suka berleter. Apatah lagi kalau pokok-pokok bunga kesayangannya dirosakkan orang lain, walaupun cucunya sendiri. Kalau satu perkataan dibalas Nasyirah, sepuluh pula jawapan yang boleh  menambah luka hatinya.
    “Syirah, abang lihat sejak akhir-akhir ini, kau tidak seceria dulu dan kurang pula bercakap, apa yang tak kena di rumah ni?’ tegur Nasyril sambil membaca akhbar selepas makan tengah hari. “Tak ada apa-apa bang, lagi pun tak ada apa yang hendak dicakapkan”, balas  Nasyirah. “Kalau ada masalah, ceritakanlah pada abang, insyaAllah mana yang boleh kita selesai.., kita selesaikan bersama”, nasihat Nasyril. “Syirah tu bukan apa Nasyril, dia memang pendiam orangnya”, sampuk ibu dari ruang dapur. “Bukan apa mak, dulu Syirah cukup peramah.Tapi sekarang, nak dapatkan senyumannya.., pun.., susah”, balas Nasyril sambil mengusik isterinya. “ Abang Nasy,emak, sebenarnya Syirah banyak kerja, jadi tak sempat nak berbual-bual”, jawab Nasyirah untuk menjaga hati ibu dan suaminya. “ Itulah, dulu emak ada orang gaji, kau tak mahu.Kau kata, kalau ada orang gaji nanti hilang pula tanggungjawab seorang isteri“, usik ibu.Nasyril dan Nasyirah saling berpandangan dan faham sikap ibu yang tidak suka mengalah dalam satu-satu perdebatan keluarga. Mereka mendiamkan diri. Ibu memberhentikan hujahnya. Nasyril kembali ke pejabat tempat ia bertugas.
        Segala ketaatan dan kesetiaan Nasyirah kepada suami dan keluarga telah dicurahkan tanpa perasaan berbelah bagi. Namun begitu hati Nasyirah masih belum menikmati kebahagiaan sepenuhnya dalam erti berumah tangga. Bukan kerana suami dan anak yang menyebabkan  Nasyirah tidak merasa bahagia dalam rumah tangganya tetapi peranannya sebagai seorang permaisuri dalam rumah banglo dua tingkat setengah itu terpaksa berkongsi dengan ibu mertuanya. Kadang-kadang Nasyirah merasa serba tidak kena apa yang dibuatnya dalam rumah banglo itu.
   “ Abang, apa kata kita pindah”, usul Nasyirah sewaktu mata hampir lelap di atas katil.“ Pindah?...nak pindah ke mana Syirah?..ini kan rumah abang, rumah hasil keringat ayah abang,Abang anak yang bongsu,lagi pun arwah ayah abang telah mewasiatkan rumah ini adalah milik abang, kalau pindah pun, bagaimana dengan emak?..dia tentu tidak mahu, apatah lagi kalau pindah ke rumah setinggan”, balas Nasyril dengan sindiran yang menghiris hati Nasyirah.“ Abang, walaupun rumah setinggan Syirah dilahir dan dibesarkan, tapi jiwa dan hati Syirah cukup bahagia”,. “Oh...jadi di rumah abang ni Syirah tak bahagia?”. “ Bukan begitu bang, Syirah mahukan peranan dan tanggungjawab  Syirah sebagai isteri dapat ditunaikan sepenuhnya untuk abang dan keluarga kita tanpa dikawal segala gerak geri Syirah”, jelas Nasyirah. “ Habis.... apa yang masih Syirah tak puas hati?”,.“ Selama ini, apa yang Syirah buat di rumah ini serba tak kena, ada saja teguran daripada emak”, jelas Nasyirah lagi. “ Orang kalau menegur tu, bukan bertujuan yang buruk”, Nasyrll cuba memihak kepada ibunya. “ Sudahlah...biar abang keluar..panas lah dalam bilik ni.”, Nasyril menamatkan pertengkaran kecil itu lalu terus keluar dari kamar tidur.Nasyirah menangis bersendirian dalam kamar tidur. Nasyril ke ruang tamu menonton televisyen bagi mengelakkan pertengkaran kecil itu berpanjangan.
         Nasyril masih ingat pesanan ayah jika berlaku pertengkaran antara suami isteri jangan dibiarkan berpanjangan dan elok  salah seorang menjauhkan diri atau  mendiamkan diri. Menjauhkan diri atau mendiamkan diri bukan erti kalah tetapi demi menjaga kerukunan rumah tangga terus utuh sepanjang masa.
       Pertengkaran  kecil antara Nasyril dan Nasyirah tidak didengari ibu kerana ibu tidur di kamar bawah. Ibu terdengar bunyi televisyen di ruang tamu. Ibu membuka pintu bilik sambil mengintai apa yang berlaku di ruang tamu. “ Ha.. tak tidur lagi Nasyril?”, tanya ibu .“ Panaslah mak”, balas Nasyril.  “ Tak pe Nasyril..mak pun  nak  tidur ni  dah ngantuk”, ibu kembali ke kamar tidur.“ Itu yang kamu kata cinta..kau nak hidup dengan cinta..Nasyirah dengan kau tu macam enggang dengan pipit.Bolehke kamu sesuai hidup di rumah setinggan tu. Kau lihat abang kau kahwin dengan orang setinggan, pada mula nampak baik dan lembut tapi akhirnya emak pun dibiarkan. Kau nak ikut jejak langkah abang kau? ”, kata-kata ibu masih tergiang-giang di cuping telinga Nasyril dan terus tersimpan dalam benak yang menjadi  igauan untuk menilai sebarang kekusutan berlaku dalam keluarga.
   Abang Long dan kakak ipar Nasyril jarang sekali mahu menjenguk ibu. Kalau datang pun mungkin pada waktu-waktu tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri. Ibu Nasyril pernah ditinggalkan kakak  ipar semasa  mereka membeli belah di sebuah pusat membeli belah di Singapura. Nasib baik Nasyril ada bersama  ibu ketika itu dapat menenangkan hati ibu yang ditinggalkan kakak iparnya. Nasyril pada waktu itu masih di alam kanak-kanak. Sejak itu  hati ibu telah terguris dan kalau boleh perkara yang sama tidak mahu berulang kembali dalam hidup ibu dan keluarganya. Tapi jodoh telah ditentukan Allah, ibu menerima dengan hati terbuka dua anak menantu dari perkampungan setinggan. Perkampungan setinggan kakak iparnya  telah bertukar wajah dengan kepesatan pembangunan bandaraya tetapi perkampungan setinggan Nasyirah masih dapat mengekalkan ciri-ciri perkampungan Melayu.
        Nasyril tidak menceritakan apa yang berlaku antara dia dengan Nasyirah kepada ibunya demi menjaga  hubungan  baik antara isteri dan ibunya. Begitu juga apa  yang pernah berlaku antara ibu dan kakak iparnya kepada Nasyirah. Namun begitu dia sedar  perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Ia harus diselesaikan secara berhemah untuk menjaga hati isteri dan  hati ibunya. Kali terakhir abang long dan kak ipar Nasyril datang berkunjung ke rumah ibu kira-kira lima bulan yang lalu. Itu pun ada urusan berhubung dengan satu pelaburan .
“ Mak kami datang bukan apa, cuma nak pinjam RM10,000.00 untuk pelaburan..ini buktinya mak cek yang telah kami terima,” pinta abang long untuk menyakinkan ibu.“ Tak usahlah kamu percaya dengan pelaburan itu..dah banyak kena tipu.Dulu pun mak dah bagi kamu pinjam RM5,000.00 tapi tak ada pun keuntungannya,ini.. nak pinjam  lagi daripada mak..ce..cerita pada mak apa pelaburan kamu berdua ni”, balas ibu untuk mendapat penjelasan.“ Mak..ini bukan skim cepat kaya..ini pelaburan barangan kesihatan..sambil melabur kita dapat membeli barangan kesihatan dan wang pelaburan kita  tidak luak dan terus meningkat..kalau Nasyril nak masuk pun boleh.,” abang terus mempertahankan konsep pelaburannya sambil berkempen untuk melebarkan sayap kepada adiknya.“ Abang long, kak long....saya nak cakap sikit, ni bukan nak mengajar abang dan kak....tapi apa yang mak cakap tadi ada benarnya....sebab pelaburan yang tak jelas dengan bukti yang kukuh perniagaannya, tak usahlah percaya”, celah Nasyril. “ Sudahlah mak... Nasyril pun sama,” abang long dan kak long keluar meninggalkan rumah.Nasyril terus menonton televisyen sambil melayan emosi dan kenangan pertemuan kali terakhir  dengan abang long dan kak long yang datang menziarahi ibu.Kebetulan waktu itu Nasyril ada dalam perbincangan itu.
“ Mak...”, terkam Izwan dari belakang Nasyirah. “ Izwan tak tidur lagi?” Tanya Nasyirah sambil membelai rambut  Izwan. “ Mak nangis ke?”, tanya Izwan kerana  melihat ibunya sedang mengesat air mata.“ Tak..mata mak masuk sampah tadi”, balas Nasyirah untuk memendekkan pertanyaan anaknya.“ Emak, bila kita nak pergi rumah atok?” tanya Izwan lagi.“ Nantilah, hari minggu ini kita ajak ayah pergi rumah atok”,“ Tapi ayah tu tak suka pergi ke rumah atok”,.“ Bukan tak suka, tapi ayah Izwan tu kan banyak kerja”,.“ Ayah tu kalau pergi rumah atok, tak mahu lama-lama, sekejap aje”, kata-kata Izwan tidak dibalas Nasyirah.
       Ungkapan Izwan itu ada persamaan dengan masalah yang sedang bermain dalam kepala Nasyirah. Sayu hati Nasyirah bila anak yang sekecil itu dapat menilai sikap bapanya. Nasyril seolah-olah merasa rimas dan gelisah jika berada lama di rumah kelahiran Nasyirah.Paling lama dua puluh minit, Nasyril berada di rumah bapa mertuanya. Kadang-kadang bapa Nasyirah yang telah lama membujang itu pun terasa jauh hati bila anak menantunya bersikap dingin terhadap rumah dan keluarganya. Malam itu Nasyril terus terlena di hadapan televisyen dan Nasyirah yang sukar melelapkan mata cuba membangun Nasyril dan  mengajak tidur bersama Izwan di kamar tidur.
       Segala apa yang berlaku akan menambahkan lagi sebak di dada Nasyirah. Kerunsingan di hati Nasyirah bagai tak terbendung lagi. Hari-hari mendatang akan membuntukan fikiran dan perasaan Nasyirah. Hanya Izwanlah satu-satunya yang menjadi penawar bagi mengubati dukalara Nasyirah. Sesekali timbul penyesalan di hati Nasyirah kerana terlalu cepat mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan. Pelepasan jawatan adalah semata-mata menurut kehendak suami yang tercinta. Sebagai seorang isteri yang taat kepada suami sewajarnya tidak mengengkari cadangan yang baik  daripada suami. Syurga itu di bawah kepimpinan suami yang soleh dan kesetiaan isteri yang soleha serta sering mentarbiah anak-anak ke jalan yang diredai Allah.
   “ Syirah sayang,,,abang fikir lebih baik Syirah berhenti kerja dan tumpukan sepenuh perhatian terhadap anak dan keluarga kita”, usul Nasyril sambil membelai rambut Izwan yang baru berusia dua puluh hari. Ketika itu Nasyirah  masih dalam pantang yang mendapat cuti bersalin selama dua bulan. “Berhenti kerja...? habis siapa pula yang nak sara hidup ayah?’  Nasyirah meragui tindakannya. “Janganlah Syirah risaukan, kita hantarlah wang seperti biasa”, Nasyril cuba menenangkan keaadaan. “Tapi...bagaimana jika berlaku sesuatu ke atas diri abang?”. “maksud Syirah?”.“Manalah tahu, jika sesuatu takdir menimpa ke atas diri abang atau Syirah ditinggalkan..”.“Janganlah risau abang tetap  setia dan mencintai Syirah hingga akhir hayat abang...abang kan ada pencen...wang persaraan itu dapat membantu Syirah dan anak kita”, Nasyril menutup keraguan Nasyirah. “ Ring...ring...,” telefon bergema menghentikan lamunan Nasyirah. “Helo...” ibu mengangkat ganggang telefon. “Nasyirah.. ada telefon untuk kamu”, ibu memanggil Nasyirah.“ Kak ni adik..nak bagi tau ayah jatuh pagi tadi..dia jatuh tangga semasa nak betulkan lampu..kaki ayah patah”, jelas adik Nasyirah dalam talian.“ Habis...ayah di mana sekarang?”, tanya Nasyirah. “ Ayah sudah adik bawa ke hospital”, . ”Petang nanti kakak dengan abang datang”, telefon dihentikan perbualan. “ Mak..tadi adik Syirah ada telefon, ayah saya sakit..kakinya patah sebab jatuh tangga semasa nak betulkan lampu di rumah”, Nasyirah memaklumkan pada ibu. “Itulah, dulu mak dah kata, lebih baik ayah Nasyirah tu hantarkan ke rumah orang tua-tua, lebih selamat dan terjamin kesihatannya, ini duduk di rumah setinggan tu siapa yang nak uruskan”, balas ibu dengan sindiran tanpa langsung menunjukkan simpati kepada Nasyirah.“Apa-apa pun, tunggu suami kamu balik kalau nak ziarah bapa kamu”, sambung ibu lagi.“Ring-ring”. telefon bergema. Ibu mengangkat ganggang telefon.“Assalamualaikum mak”, Walaikumsalam..ada apa Nasyril”, “Ini ada berita baik untuk mak.Syirah dan cucu mak”, “Berita apa tu”, Nasyril dinaikkan pangkat ke jawatan lebih kanan..tapi Nasyril kena bertukar ke Sarawak”, “ Apa naik pangkat bertukar ke Sarawak?” “Tak apalah mak, kerang kita bincang”, balas Nasyril menutup perbualan. Perbualan Nasyril dan ibu didengari Nasyirah. Tapi kenapa ibu tidak menceritakan kemalangan yang menimpa  ke atas bapa Nasyirah. Sedih bercampur gembira bermain di minda Nasyirah. Sedih kerana bapa ditimpa musibah. Gembira suami dinaikkan pangkat mungkin berpeluang Nasyirah berpindah ke rumah baru untuk membina mahligai rumah tangga yang menjadi idamannya.
     Petang itu Nasyril dan keluarganya menziarahi bapa Nasyirah yang terlantar di hospital. Kakinya masih disimen untuk membetulkan bahagian kaki yang patah.“ Mana mak kamu Nasyril?”, tanya bapa Nasyirah. “Mak tak dapat datang sebab abang saya yang tinggal di Petaling Jaya tu nak datang ke rumah saya”, jawab Nasyril. “Dengar kata kamu dinaikkan pangkat ke Sarawak....betulke?”, tanya bapa lagi. “Betul ayah...itulah saya nak bincang dengan ayah..saya cadang nak bawa Nasyirah dan Izwan ke Sarawak”, “ Elok sangatlah tu...tapi mak kamu siapa yang nak jaga?”, “ Abang Long saya kan ada, dia yang jaga”, “ Rumah abang long yang besar tu tak kan nak dibiarkan begitu saja”, celah Nasyirah. “ Ini yang abang malu nak cerita....sebenarnya abang long dan kak long saya sudah muphlis...dah bangkrap....rumah besar pun dah tergadai ke pihak  bank kerana melabur dalam skim cepat kaya”, jelas Nasyril dengan nada kekesalan. “Ya...Allah...Ya..Tuhanku....kenapalah orang yang bijak pandai macam abang long kamu mudah tertipu”, bapa turut bersimpati. “Betul ke bang....kesian abang long dan kak long...apakah dosa mereka.....sudahlah tiada zuriat”, Nasyirah turut merasa sedih dan simpati.” “Mereka berdua tu banyak mengalirkan air mata mak..elok mereka duduk dengan mak untuk menebus segala dosa mereka”, jelas Nasyril sambil mengimbau kenangan pahit bersama abang long dan kakak long. Apa yang berlaku antara ibu dan abang long dan peluang atas kejayaan Nasyril suami kesayangannya dalam meniti kerjayanya sedikit sebanyak ada hikmah dan sekaligus melenyapkan kegelisahan yang terpenjara dalam hati Nasyirah.

Glosori:
1.       Relas = mematahkan dahan dan daun pokok
2.       Kerang = sedikit masa lagi
3.       Tidak Luak =tidak mengurangkan jumlah
4.       Ce..cerita = cuba cerita