Saturday, January 29, 2011

Siak

Saban hari tugasnya membersihkan kawasan dalam dan luar masjid. Ini termasuk membentang dan menggulung sejadah utama yang biasa digunakan imam dan makmum kecuali hari Jumaat memerlukan saf yang banyak. Solat lima waktu kadang-kadang lebih tiang masjid daripada makmum.Siak cuma menyediakan satu atau dua saf untuk makmum. Majlis ilmu semalam seorang penceramah memberitahu bahawa tanda-tanda orang beriman itu adalah jiwa dan hatinya sentiasa terpaut kepada masjid. Makmum yang hadir menunaikan solat masih di takuk lama dan boleh dibilang dengan jari. Suasana di desa yang rata-rata dihuni warga emas semakin hari semakin berkurangan. Ada yang meninggal dunia dan ada yang  mencari surau yang berdekatan rumah. Kebanyakan belia sebok dengan menunggang motorsikal, memancing ikan, caber cafe dan permainan di padang. Ada juga yang menyambung permainan futsal di sebelah malam. Siak terus menjalankan amanah dengan membersih sejadah takut-takut ada najis cicak yang bertaburan dalam masjid. Siak menggunakan penyapu lidi dan tempat pengaut sampah untuk membuang najis cicak ke luar tingkap. Sawang yang terbentuk dari himpunan habuk di sarang labah-labah disapu siak pada setiap minggu.Terutama pada hari Jumaat, siak membersih kelodak dalam kolak tempat mengambil wuduk setiap malam Khamis selepas solat isyak.Kadang-kala isteri siak turut membantu  membersihkan masjid. Hari Jumaat penghulu segala hari, ramai jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat. Ini termasuk kanak-kanak yang duduk di saf akhir atau belakang. Siak mengeluarkan sebilah rotan berdiri di belakang kanak-kanak. Jika ada kanak-kanak yang bercakap atau berbual semasa khatib membaca khutbah, siak akan mengusik kanak-kanak dengan hujung rotan. Kanak-kanak jadi diam dan takutkan kepada siak.Moga-moga jiwa dan hati kanak-kanak terpaut pada rumah Allah. Solatlah anda di belakang imam sebelum anda disolatkan dihadapan imam. Kata-kata hikmat itu terpampang di hadapan masjid.

1 comment:

  1. kesian semua pak siak.Bila khenduri panggil pak siak dan pak imam. ntang sembahyang pak imam dan pak siak tinggal berdua.Semoga pak siak mendapat ganjaran disisi Allah .

    ReplyDelete