Friday, November 11, 2011

Tanggal 11.11.11

Tanggal 11.11.11 jatuh pada hari Jumaat yang merupakan tarikh keramat kerana tarikh itu begitu unik jika dilihat dari segi susunan nombor 1 terdapat enam digit. Subuh tadi aku menunaikan solat berjemaah di Masjid Jamek Kg Loh Karai. Selepas solat aku bersembang panjang dengan mantan ketua Kg. Loh Karai. " Jadi ke Ustaz Kazim menyampaikan ceramah di masjid kita pada 22.11.11?", terpancul soalan aku ajukan kepada mantan ketua kampung. " InsyaAllah jadi..tapi yang paling merisaukan tok.. berapa ramai jemaah yang dapat hadir..tengoklah sembahyang subuh hari ni pun ada  berapa kerat yang hadir", keluh mantan ketua kampung. " Tak apelah Tok..kita sama-sama berkempen,..jemput seluruh penduduk kampung dan kampung-kampung berdekatan..kalau boleh jemput semua penduduk di daerah kecil Sg. Siput(U)". balas aku bagi menenangkan keluhan hati mantan ketua kampung.Kami beredar meninggalkan perkarangan masjid.
     Hari ini juga sekolah aku dapat cuti peristiwa sempena Hari Anugerah Cemerlang dan Graduasi Pra Sekolah SK.Kati 2011. Aku tidak mengambil cuti rehat kerana ada mesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Aku masih ingat kata-kata perasmi Hari Anugerah Cemerlang semalam. " Anak-anak yang belajar di sekolah bukan diukur dari segi kejayaan mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga tetapi apa yang pentingnya ilmu dan kemahiran yang dipelajari dapat dimanfaatkan dalam kehidupannya", pesan perasmi membakar semangat murid dan ibu bapa yang hadir.Perasmi merupakan bekas pelajar cemerlang SK.Kati 33 tahun yang lalu. Kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Nazlin Trade Resourses. Beliau kembali ke akar umbi. Beliau adalah Ir. Ahmad Zainal bin Abd Rani. Aku terus memandu ke arah Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. 
      Setiba di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar aku dipanggil seorang rakan sejawat. " Ta..Ta..jamuan meraikan PPD di Pesisiran Sayong ditangguhkan", " Kenapa?" tanya aku sambil menutup pintu kereta. " PPD ada urusan yang tidak dapat dielakkan..kau telefon pembekal makanan", pinta rakan sejawatku. " Okay nanti aku bagi tahu". balas aku sambil menelefon pembekal makanan." Helo..Encik .Jo..maaf jamuan meraikan PPD ditangguhkan ke satu tarikh lain", " Okay...", balas Encik Johari. Tarikh 1 + 1 + 1 + 1 + 1 + 1 =  6 ( solat, ceramah, motivasi, akar umbi, ilmu, makan )

Thursday, November 10, 2011

Tarik Buaian Cucunda Atok

Kelahiran Aidiff menyebabkan ibu berpantang selama 44 hari.Temuni Aidiff telah dicuci dan ditanam di hadapan rumah Atok. Setiap petang Atok membuat ungun api kecil di atas tanah tanaman temuni. "Apabila temuni kering Aidiff tidak menangis", kata Wan Sun yang membersihkan temuni. Temuni dibersihkan menggunakan kapur barus, limau dan air.Hampir 7 petang Atok membuat ungunan api kecil. Ibu Aidiff terus berpantang. Pantang makan,minum dan melakukan sebarang kerja.Malahan keluar rumah pun tidak boleh kecuali ke klinik atau ke hospital. " Mak , mata Aidiff kuning", kata ibu kepada Opah. " Kita bawa ke klinik ", balas Opah. Aidif dibawa ke klinik kemudian ke hospital kerana kuningnya tinggi. Sehari semalam Aidiff di hospital. Kuning mata Aidiff beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
      Opah  membantu ibu menyediakan sebarang keperluan. Atok turut membantu meringankan tugas Opah. Setiap pagi ibu perlu bertungku. Opah akan membakar dua tungku besi selama 15 minit. Tungku yang panas akan dibalut dengan daun lengkuas dan dibungkus dengan kain. Ibu akan bertungku di bahagian perut setiap pagi dan petang selama 44 hari. Ayah Aidiff yang pulang sekali seminggu akan mengambil alih tugas Opah. Ayah bertugas jauh dari kampung Atok.
      Aidiff makin membesar dan ceria. Aidiff menjadi tali pengikat kasih sayang ibu dan ayah. Aidiff menambah ceria rumah Atok dan Opah. Tangisannya ditunggu-tunggu. Gerak gerinya jadi perhatian.Rambut Aidiff telah dicukur sehingga botak. Wajahnya makin ceria. Kini rambut mulai tumbuh tetapi berbelang-belang. Ada bahagian berambut dan yang masih licin tanpa rambut. Kata orang rambutnya dimakan bantal.
      Setelah genap 44 hari ibu berpantang, Atok dan Opah merancang akan membuat Majlis Tarik Buaian. Majlis ini ada juga disebut Majlis Berendoi. Sekitar tahun 60an majlis ini digabungkan Majlis Berzikir. Ada juga orang mengatakan habis pantang buang dapur." Na dah habis pantang, mak nak buat Majlis Tarik Boyan ni dengan Majlis Marhaban" usul Opah dalam perbincangan keluarga. " Dulu Majlis Tarik Boyan didendangkan dengan Majlis Berjikio", tambah Atok. " Apa Majlis Berjikio ayah?" tanya ibu kepada Atok. " Berjikio tu berzikir, biasanya orang lelaki yang berjikio dengan suara yang lantang hingga tegang urat leher", jawab Atok. " Kalau gitu kita buat macam cadangan mak tadi, bukan senang nak cari kumpulan berjikio", balas ibu memutuskan perbincangan keluarga.
      Hari kedua Hari Raya Aidil Adha 1432 Hijrah, Majlis Tarik Buaian dengan dendangan kumpulan marhaban bergema dalam rumah Atok. Aqiqah untuk Aidiff disempurnakan dalam Majlis Korban di pagi hari Raya Aidil Adha. Takbir dan tahlil turut bergema di bawah khemah di hadapan rumah Atok. Ramai jemputan dan jiran memenuhi ruang rumah dan khemah. Aidiff lena dalam buaian.