Monday, February 28, 2011

Budimu Tuan

Budi adalah akal. Akal membezakan antara manusia dan haiwan. Dalam diri haiwan tiada manusia tetapi dalam diri manusia ada haiwan.Kita lihat apa yang berlaku hari ini, kekejaman demi kekejaman. Mereka sanggup membunuh dan membuang bayi. Tiada perasaan belas kasihan. Rahmat sukar turun ke bumi.Hidup mereka lebih jahil daripada orang di zaman jahililiah.Di mana erti kemanusiaan. Di mana pertimbangan akal mereka. Itulah, bila nafsu mengatasi keupayaan akal manusia. Mereka ini tiada pegangan agama Islam yang kukuh.Takut dan mungkin malu pada masyarakat
    Perjalanan pulangku dari Kota Bahru ke Gerik masih siang lagi. Aku biarkan beberapa kereta memotong keretaku. Dua orang anakku, yang sulung baru berusia lima tahun dan yang tengah baru berusia dua tahun sedang nyenyak tidur di kerusi belakang.Anak-anak adalah anugerah Illahi yang sewajarnya kita belai dan pupuk dengan penuh kasih sayang dan dididik dengan akhlak yang baik.Isteri kesayangan di sebelah kiriku pun nyenyak tidur. Aku ditemani lagu-lagu dari cd yang ku pasang. Kadang-kadang aku pun rasa nak mengantuk tapi aku cuba lawan dengan mengunyah gula-gula. Aku pandu kereta dalam kederasan yang sederhana. Kereta, van dan lori ku biarkan memotong keretaku.
    Di pertengahan lebuhraya Jeli ke Gerik yang di kelilingi hutan dan gunung, aku lihat ada sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan dan seorang lelaki bersama keluarga  sedang melambai-lambaikan tangan. Aku perhatikan seorang lelaki dan seorang perempuan bersama  seorang anak kecil sedang meminta bantuan. Kereta, van dan lori yang memotong kereta ku berlalu tanpa memperdulikan lambaian mereka. Aku cuba kejutkan isteri dari tidurnya. " Da..... da...cuba tengok di hadapan tu, ada satu keluarga macam nak minta sesuatu, kita nak berhentike?" ujarku kepada isteri. " Jangan bang..takut-takut perangkap atau helah saja," nasihat isteriku." Tak pe le Da..niat kita nak tolong," aku menolak cadangan isteri.Waktu itu sudah jam 5.00 petang. Suasana dalam hutan mula beransur gelap.
     Aku memberhentikan kereta agak terkehadapan kedudukan mereka. Aku keluar dari kereta. Orang itu menghampiriku." Abang..tolong kami..tayar kereta kami pecah, tayar 'spare' pun tiada angin," orang itu merayu sambil menghulurkan tangan. Aku menyambut salamnya dan terus berkenal-kenalan. " Kalau macam tu, keluarkan tayar 'spare' dan kita pergi pam di pekan Gerik, anak dan isteri Mat naik sekali kereta saya" ujarku mempelawa Mat dan keluarganya. Kami ke pekan Gerik dalam keadaan berempit-rempit. Apabila sampai di pekan Gerik, tayar yang dibawa bersama diisikan angin . Isteri dan anak-anakku bersama isteri dan anak Mat terpaksa menunggu kami di masjid jamek pekan Gerik.Maghrib hampir tiba. Kami solat maghrib di masjid jamek pekan Gerik.
    Aku dan Mat kembali ke tempat kereta yang kami tinggalkan di tepi lebuhraya timur barat. Waktu itu suasana keliling sudah gelap gelita. Aku terpaksa menyuluh dengan mengguna lampu keretaku ke arah kereta Mat supaya Mat dapat memasang tayar keretanya.Perasaan takut mula timbul, maklumlah di tengah hutan rimba binatang buas seperti harimau dan gajah mungkin boleh datang mencari mangsanya. Petua orang tua-tua masih tersimpan dalam benakku, "apabila berada dalam hutan rimba jangan sekali-kali bercakap besar atau mempermainkan kata-kata yang ada hubungkait dengan binatang buas, terutama sang gajah."
    Tayar kereta Mat selamat dipasang. Kami kembali semula ke pekan Gerik. Mat dan keluarga sangat gembira dan mengucapkan terimakasih atas pertolonganku. "Terimakasih bang..ambillah sedikit duit minyak ni," Mat menghulurkan salam sambil menghulur sejumlah wang. " Sama-sama..tak perlu duit ni..ini pertolongan ikhlas dari saya," balasku sambil mengembalikan sejumlah wang yang diberikan kepadaku. " Hari ni saya tolong Mat..mana tahu satu hari nanti Mat pula akan tolong saya," balasku. Isteri Mat bersalaman dengan isteriku. " Terimakasih kak" kata isteri Mat. " Sama-sama..hati-hati dijalanraya." nasihat isteriku. Mat dan keluarganya meninggalkan kami untuk pulang ke Kelantan.
    Selang beberapa tahun,sewaktu aku membawa isteri ke sebuah klinik swasta di Taiping.Tiba-tiba datang sebuah lori dari arah hadapan mengeluarkan seketul objek ke arah cermin keretaku. Rupanya seketul batu yang terpelanting menimpa cermin keretaku. Apa lagi  habislah pecah berderai cermin keretaku. Aku masih ingat pesan bapa mertuaku, "kalau pecah cermin jangan buka tingkap nanti kaca yang halus akan masuk ke dalam kereta". Lori yang membawa batu itu, terus berlalu begitu sahaja.Aku membawa kereta perlahan-lahan dan berhenti di sebuah gerai menjual durian di Changkat Jering. Penjual durian memerhatikan gelagatku. " Apa kena dik..cermin pecahke?" tiba-tiba penjual durian bertanya lalu menghampiriku." Ye..bang, tadi saya berselisih dengan lori membawa batu, seketul batu jatuh ke cermin kereta saya....bolehke abang tolong..saya nak bawa isteri ke klinik swasta di Taiping..isteri saya ni turun darah," rayuku kepada penjual durian. Aku bersalaman dan berkenal-kenalan dengan penjual durian.Penjual durian membahasakannayn dengan panggilan abang Lan." Oh..kalau begitu..kereta adik tinggal di sini, nanti abang gantikan cermin..adik dan isteri adik saya hantar ke klinik," balas abang Lan yang bersimpati terhadap nasib malangku.Aku dan isteriku dihantar abang Lan ke klinik swasta di Taiping dengan menaiki van duriannya.Hujan turun dengan lebatnya petang itu.
     Tepat jam 4.00 petang ,isteriku selamat mendapat rawatan diklinik swasta dan abang Lan pula selesai memasangkan cermin keretaku di sebuah bengkel kereta. Aku membayar semua bayaran kepada abang Lan berdasarkan resip yang diberikan kepadaku.Aku bersalaman dengan abang Lan sambil menyelitkan sejumlah wang untuk dihulurkan kepada abang Lan sebagai wang sagu hati kepada abang Lan. " Tak perlu adik..hari ni hari adik..mana tahu satu hari nanti hari abang pula, pertolongan abang ni  ikhlas" Abang Lan menolak sumbanganku.Aku dan isteri mengucapkan terimakasih selangit kepada abang Lan yang begitu mulia hatinya. Budi baik abang Lan tetap dikenang selama-lama.Budimu Tuan rasa nak junjung.

Monday, February 14, 2011

Pementasan Terakhir

Persatuan Belia MAYC Kg. Bendang Kering bersidang kali ke 3. Mesyuarat itu telah memutuskan akan menganjurkan satu aktiviti untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung persatuan. Aktivitinya menjurus ke arah pengembangan budaya Malayu melalui pementasan. AJK pengelola telah dibentuk bagi mempastikan pementasan ini berjalan dengan lancar. Acara persembahan seperti lakonan, boria, nyanyian, pembacaan sajak ,lawak jenaka dan tarian Melayu asli mahu dipaparkan dalam pementasan itu.
     Cikgu Halim selaku pengerusi persatuan berharap semua AJK dapat melaksanakan tugas tanpa kecacatan.Semua ahli belia Kg. Bendang Kering bergabung tenaga mendirikan pentas, membuat latihan dan pelbagai persiapan. Tiang pentas dibuat daripada batang pinang dan lantainya daripada papan. Atap pentas daripada zing. Dindingnya daripada kain dan guni. Tabir pentas daripada kain yang berwarna-warni." Cikgu.. lampu pentas dan sekeliling padang saya sediakan." celah Haizerman menawarkan kepakarannya. " Terima kasih ...Man.. bertambah serilah pementasan kita tahun ni," balas Cikgu Halim menerima tawaran Haizerman. " Tam..macam mana persembahan pentas," tanya Cikgu Halim kepada aku yang ditugas sebagai AJK Persembahan. " Semua beres cikgu..para belia dan beliawanis telah berlatih..siang dan malam," ujar aku kepada Cikgu Halim. " Boria dan sajak....macam mana," tanya Cikgu Halim lagi. " Ji, Asma, Yam, Jawa, Timah dan semua yang terlibat telah berlatih bersungguh untuk persembahan boria dan saya sendiri akan membaca sajak bertajuk Kg. Bendang Keringku Indah Permai  dan Asan ahli belia yang kacak sebelah saya ni, akan meniup seruling semasa saya membaca sajak " sambungku menjawab pertanyaan Cikgu Halim.
      AJK Jualan Makanan yang bertanggungjawab menjual makanan dan minuman telah menyediakan gerai jualan. AJK Jualan tiket untuk menyaksikan pementasan telah menyediakan kaunter jualan tiket di tepi padang sekolah.Tiket bayaran masuk dikenakan sebanyak 30 sen seorang. Pasukan polis diminta mengawal keselamatan sepanjang malam pementasan . Pasukan polis membenarkan masa pementasan bermula jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam. " Cikgu Halim...bolehke kami nak tumpang buat persembahan malam ni di kampung cikgu," tiba-tiba muncul suara daripada salah seorang  pemuda yang datang berempat dari kampung berdekatan menawarkan diri untuk membuat persembahan.. " Persembahan apa?" tanya Cikgu Halim. " Kami ada 3 gitar karen dan 1 drum..kami boleh bermain gitar karen....persembahan pementasan cikgu malam ni lagi lebih menarik," jelas salah seorang pemuda itu. Kami yang sedang bersiap sedia untuk persembahan malam itu merenung sesama sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala apabila Cikgu Halim memandang ke arah kami. Bahasa isyarat itu difahami Cikgu Halim. " Minta maaf..pesembahan kami lebih mengutamakan kesenian  budaya Melayu....lagi pun masa persembahan kami pun begitu padat," Cikgu Halim menolak tawaran keempat-empat pemuda itu." Tak apa le cikgu.." Keempat-empat pemuda meninggalkan kami dengan wajah yang hampa dan marah.
      Cuaca malam pementasan itu, begitu baik. Ramai penonton datang dari seluruh pelusuk daerah ini. Kutipan tiket amat memuaskan. Jualan laksa paling laris pada malam itu. Persembahan boria dengan pakaian sedondong cukup menarik. Drama lakonan Man Cina dan rakan-rakannya yang bertajuk Cucu Cicit Jebat amat mengkagumkan. Tarian inang dan zapin daripada belia dan beliawanis cukup mengasyikkan. Nyanyian lagu Melayu asli, lagu pop yeh-yeh , lagu-lagu 70an dan lagu-lagu 80an didendangkan dengan iringan Pancaragam Puspa Dewi Kg, Bendang Kering. Abang Mat Hadri menyanyikan lagu Di Ambang Sore yang dipopularkan Dato 'Ahmad Jais. Abang Mat Hadri pernah mendapat naib johan dalam pertandingan lagu yang dianjurkan oleh RTM. Johan ketika pertandingan itu adalah Dato' M.Daud Kilau.Tiupan seruling dari Asan yang begitu syahdu dan mendayu mengiringi sajak ciptaanku." Kg. Bendang Kering Indah Permai, Di sini tempat aku dilahirkan, di sini tempat jua aku dibesarkan...." ku baca untaian sajak hingga ke bait terkahir. Tepukan gemuruh menamatkan pementasan jam 12.00 tengah malam.
      " Hoi..siapa yang pecah tayar kereta aku," terdengar tempikan dari jalan raya. " Aku pun kena ni..sapa pecah tayar kereta ku," satu suara lagi terdengar di tengah orang ramai yang berpusu-pusu hendak pulang.Cikgu Halim dan Ketua Kampung terus meghampiri suara itu. Setiausaha persatuan iaitu Cikgu Syed, aku dan beberapa AJK lain bergegas mengekori Cikgu Halim. Pasukan polis ada di situ sedang menasihati kedua-dua orang yang malang itu, agar bersabar. Aku melihat sendiri memang perbuatan khianat daripada seseorang. Orang itu memasang paku yang diasah begitu tajam di atas sekeping papan.Orang itu menahan papan yang berpaku itu dibawah tayar hadapan dan belakang kereta. " Saya minta Ketua Kampung, Cikgu Halim, Setiausaha dan AJK, datang ke balai polis malam ni," tegas salah seorang pasukan polis yang bertugas pada malam itu.Adakah perbuatan khianat itu daripada keempat-empat pemuda itu?..mungkin..pasukan polis terus menyiasat

Saturday, February 12, 2011

Main Hantar-Hantar

Sejak awal Ramadan, Asan mula mengumpul tempurung. Asan satu-satunya anak lelaki Mak Itam Temah dan Pak Abu Talib. Tempurung dipungut dan dikumpul untuk dijadikan panjut. Panjut tempurung  akan dipasang keliling rumah. Panjut tempurung diselang seli dengan panjut buluh. Suasana Ramadan begitu indah. Indah di laman rumah dan indah laluan ke masjid. Ramai penduduk kampung yang memasang panjut. Ada juga yang membuat panjut daripada tin susu dan tin ikan sadin. Sumbu pelita panjut dibuat daripada kain buruk atau tali guni.Pelita panjut menggunakan minyak gas atau minyak tanah. Kemeriahan Ramadan memang dinanti-nantikan seluruh penduduk kampung.
     Jiran Asan, Ji dan Asma sudah bersedia dengan juadah berbuka puasa. Kuih-muih untuk berbuka puasa seperti pelita talam, limas, puteri mandi, bubur gandum, bubur gunting dan pelbagai kuih-muih yang enak akan dihidang untuk juadah berbuka puasa.Pak Cik Di bapa kepada Asma yang begitu handal mencipta kuih muih sering mengajar anak-anak dan jiran membuat kuih muih untuk juadah berbuka puasa. Bubur gunting adalah ciptaan Pak Cik Di. Kadang-kadang kuih-muih dan bubur dihantar ke rumah jiran. " Ma..ma..apa kata kita anto kuih ke rumah Asan malam ni " ujar Ji kepada Asma. " Aku takut nanti Asan kejo aku." Asma menolak cadangan Ji. " Tak ape....kita jangan bagi tahu dia, kita anto lepas Maghrib" Ji cuba menyakinkan Asma. "Habeh..nak anto macam mana, dia tak tahu kita yang anto" Asma masih kurang yakin. " Ikut aku..nanti aku cari pelepah pisang..masa kita letak kuih di depan tangga rumahnya....kita pukul kuat-kuat pelepah pisang..Asan akan buka pintu..kita larilah.." balas Ji untuk menyakinkan Asma.
    Apabila azan Maghrib bergema..Ji dan Asma berbuka puasa.Malam itu Asma berbuka puasa di rumah Ji. Satu talam kuih muih yang bertutup dengan sange sudah sedia untuk di hantar ke rumah Asan. Ibu dan Ayah Ji tidak tahu apa yang telah dirancang oleh anaknya dan Asma. Selepas berbuka puasa mereka solat berjamaah. Ayah Ji solat di masjid. Asan sudah mengesyaki  sesuatu akan berlaku kerana dia nampak Ji dan Asma memotong beberapa pelepah pisang. Asan juga bersedia kalau-kalau ada berlaku sesuatu.di luar jangkaannya.
    Maghrib telah berlalu, Ji dan Asma keluar pelahan-lahan dari rumah terus menuju ke rumah Asan. Asan nampak dua bayangan lembaga menuju ke rumahnya. " Bulan puasa mana ada hantu..semua hantu syaitan sudah diikat" bisik hati Asan untuk menghilangkan rasa takut. Dua bayangan lembaga itu kian hampir. Asan bersembunyi di balik pero di bawah rumah. Kebetulan dekat pero ada kerancah yang belum dicuci. Asan menggosok perlahan-lahan arang yang terdapat pada kerancah.Kedua-dua bayangan lembaga itu meletakkan sesuatu di hadapan tangga rumah Asan. Kemudian kedua-dua lembaga itu memukul dengan menggunakan sesuatu. " Lepak-lepak-lepak.." bunyi pukulan bertalu-talu. " Orang nganto..orang nganto " teriak Ani dan An, kedua-dua kakak Asan dari dapur. Mak Itam Temah membuka pintu " Hoi..orang nganto koi.orang nganto koi...kejo-kejo " sorak Mak Itam Temah . Asan  terus mengejar dan menangkap lalu melumuri muka Ji dan Asma dengan arang kerancah. Ji dan Asma dapat melepaskan diri lalu lari pulang ke rumah. Inilah satu-satunya permainan bagi mengeratkan hubungan jiran dikampungku yang kini tidak berlaku lagi. TV9 pernah mengumpul khazanah budaya ini.."Main Anto-Anto " ..Main Hantar-Hantar untuk tatapan rakyat 1 Malaysia. Pelakon utama di TV9 iaitu Abang Mat Hadri dan Kak Semilan..dan ramai lagi.Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

Saturday, February 5, 2011

Angkara Bunga Api

Lima hari lagi 1 syawal akan menjelang tiba. Haris dan Harman telah berkira-kira untuk membeli bunga api. Harga bunga api di sini terlalu tinggi.Bunga api ini akan dihadiahkan kepada adik-adik mereka untuk bermain pada Malam 27 Ramadan .Mereka mengambil keputusan akan membeli bunga api di negara jiran. Harganya lebih murah jika dibandingkan dengan harga pasaran tempatan. Apatah lagi di negara jiran ada dua gadis telah menunggu kedatangan mereka. Mereka telah mengenali kedua-dua gadis itu semasa gadis itu bekerja di negara ini. Ini peluang terbaik kedua-dua adik beradik itu ke negara jiran sambil membeli bunga api." Buat ape kamu Haris, Harman ke negeri orang mencari bunga api, di pekan kita sini pun banyak bunga api" nasihat ibu setelah kedua-dua adik beradik memohon kebenaran ibu mereka." Haris dan Man nak melancung bu " balas Haris. " Melancung ke melencung " ibu menyindir kedua-dua anaknya yang sering berulang alik ke negara jiran." Lagi pun ibu kami nak belikan bunga api untuk adik-adik" sampuk Harman. " Lantak kamu le Man, orang bulan puasa ni banyak beribadat, tapi kamu berdua ni banyak bersubahat" tegur ibu. " Subahat ape bu, kami kan buat jahat, kami cuma nak jalan-jalan aje" balas Haris. Ibu terus ke dapur setelah selesai melipat kain di anjung rumah. Haris dan Harman berpandang-pandangan sambil menonton televisyen.
   Mereka berdua tidak memperdulikan nasihat ibu. Haris mengambil kunci kereta dan terus ke garaj kereta.        " Jom Man kita pergi.... mak..kami pergi " Haris mengajak Harman sambil memohon kebenaran kepada ibu. Ibu sebok memasak juadah berbuka puasa. Haris dan Harman meninggalkan perkarangan rumah dan terus ke negara jiran. Mereka menggunakan "border pass" untuk keluar masuk ke negara jiran. Sampai di negara jiran pihak berwajib negara itu menahan kereta mereka. Apabila digeledak didapati ada dua tiub benda haram. Mereka berdua ditahan dan dipenjara. Mereka merengkok dalam penjara semasa takbir 1 syawal bergema. Ibu dan seluruh keluarga menangis atas nasib malang yang menimpa ke atas Haris dan Harman. Hari Raya tahun itu menjadi suram. Syurga di bawah telapah kaki ibu. Nasihat ibu ada azimat dan ada hikmahnya.
   Kedua-dua gadis yang sedia menunggu kedatangan Haris dan Harman terkejut mendengar berita tertangkapnya rakan mereka. Mereka datang menziarahi Haris dan Harman di penjara. Mereka membawa makanan dan minuman. Bapa dan ibu Haris dan Harman tidak mendiamkan diri. Mereka menghubungi pihak berwajib di negara jiran. Pihak berwajib membenarkan ikat jamin bersyarat . Mereka berdua dibenarkan keluar penjara dengan bayaran RM31,000.00 setiap seorang dan perlu melapor diri seminggu sekali. Bapa dan ibu Haris dan Harman terpaksa menjual tanah bagi mendapat wang sejumlah itu bagi mambayar ikat jamin kedua-dua orang anaknya.Semasa di mahkamah negara jiran seseorang telah menasihati bapa agar berhati-hati dengan sindiket meletakkan benda haram itu ke dalam kereta. Mungkin Haris dan Harman terinaya atau..... Belilah barang-barang tempatan lebih selamat dan membantu pembangunan negara.

Thursday, February 3, 2011

Musim Berikan

Air bendang yang bertakung selama enam bulan membolehkan ikan, udang, siput dan pelbagai hidupan air membiak dengan banyak. Ikan air tawar seperti haruan, keli, puyu,sepat,patung dan bujuk membiak di kawasan paya. Udang dan siput membiak di kawasan alur dan tepian bendang. Aku dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang ini untuk menahan taut dan memancing ikan di bendang. Sebelah petang apabila pulang dari sekolah aku dan kakak menaiki perahu mengail ikan di kawasan paya. Yop menahan taut di tepian bendang kerana ikan haruan akan berada di tepian bendang pada waktu malam. Umpan taut biasanya menggunakan anak ikan atau anak katak.Anak ikan atau anak katak yang masih hidup akan dicangkuk dengan mata kail di belakangnya supaya ia melompat-lompat dalam air yang boleh menarik perhatian ikan yang lebih besar. Kakak mengail puyu menggunakan umpan cacing atau udang.....
     Belum sempat malam ikan haruan mula menyambar umpan. "Wit,wit,wit,wit.." kata yop sambil meraduk dan mengejar ke arah taut yang sudah mengena. Ikan haruan itu bagaikan faham Bahasa Inggeris yang membawa maksud nanti,nanti .."wait,wait..". Taut yang sudah disambar ikan terhenjut-henjut dalam air sawah. Yop terus menangkap ikan haruan sambil mematahkan tulang di bawah kepala haruan. Keesokan pagi hampir semua taut yang ditahan yop disambar ikan haruan.
     Ibuku selepas solat subuh terus mengambil tangguk yang dibuat daripada buluh,kulit bertam dan rotan lalu pergi ke sawah menghala ke alur-alur yang terdapat dalam sawah.Ibu ditemani jiran yang turut menangguk udang  di aluran sawah. Aluran sawah lebih dalam daripada petak-petak sawah.Udang dan ikan berkumpul dalam aluran sawah. Apabila selesai menangguk udang ibu akan pulang ke rumah. Sampai di rumah kakak akan menyukat udang yang dipungut dengan menggunakan tin susu.Udang yang dipungut akan dijadikan lauk pauk dan selebihnya akan dijual. Satu tin susu udang akan dijual dengan harga 50 sen.Udang dibungkus dengan daun keladi.
    Apabila genap enam bulan air bendang akan dikeringkan kerana para petani akan memulakan tanaman padi. Empangan dihujung sawah akan dibuka jebaknya.Ayah yang bertanggungjawab membuka jebak empangan membuka satu persatu papan yang menahan air melimpah sebelah jebak.Orang kampung bersorakan apabila jebak empangan dibuka. " Hoi...moh.. kita weh ke bendang..jebak empang sudah dibuka Tok Pawang" kata salah seorang yang sedang menunggu ditepi sawah. Orang kampung turun ke sawah sambil membawa serkap,jala,tangguk, kurung batang,bubu, timba, golok, parang dan pelbagai alat menangkap dan menyimpan ikan. Apabila jebak diangkat, air sawah menjadi kering. Orang kampung berpesta disawah menangkap ikan. Ada juga yang disengat ikan keli. Meraung kesakitan. Inilah pesta yang dipanggil Musim Berikan dikampungku.

Wednesday, February 2, 2011

Rendang Belalang

Hujan turun dengan lebat. Kilat sabung menyabung. Guruh gemuruh berdentum di langit. Para petani menanti hujan soyat.Apabila hujan soyat para petani akan turun ke sawah dengan menaiki perahu dan rakit buluh. Aku bersama kakak dan yop tidak melepaskan peluang turun ke sawah menangkap belalang. Kami membawa botol untuk mengisi belalang yang di tangkap. Para petani berkuwo bersahut-sahutan turun ke sawah. " Huuu...Moh..kita weh tangkap belalang, belalang dah basah kepaknya" kata yop kepada jiran di sebelah rumahku. " Huuu....Moh..moh yop, malam ni kita makan rendang belalang" balas Man jiran ku. Kami hidup berjiran seperti satu keluarga.
  Sampai di sawah kami berkejar-kejaran di kawasan sawah yang dipanggil cangkat dan kurang berair untuk menangkap belalang. Perahu dan rakit di tinggalkan di kawasan bertakung air. Lintah dan pacat sudah menjadi mainan kami. Tapi agak geli sedikit jika digigit lintah paya yang bersaiz besar dan panjang.Biasanya belalang yang kami tangkap adalah belalang beras, belalang kepak dan belalang rusa. Belalang beras bersaiz kecil. Belalang kepak bersaiz besar dan belalang rusa bersaiz sederhana. Belalang kunyit yang bersaiz besar  jarang ditemui di kawasan sawah.Belalang biasanya selepas hujan mudah ditangkap sebab kepaknya sudah basah dan sukar untuk terbang.
   Setelah penuh botol dengan tangkapan belalang.Kami terus pulang ke rumah dan menyerahkan kepada ibu. Man jiranku juga menyerahkan tangkapan belalangnya kepada ibunya.Ibu akan memasukkan air panas ke dalam botol yang dipenuhi belalang.Kesemua belalang habis mati. Ibu menuangkan belalang ke dalam talam. Kami bertiga berebut-rebut membuang kepak dan ketih belalang. Belalang yang menjadi togel diserahkan semula kepada ibu untuk dimasak supaya menjadi rendang belalang. Hoi...sedapnya redang belalang. Cubalah,  mana tahu satu hari nanti apabila makanan kita berkurangan mungkin kita kembali makan belalang sebagaimana berlaku di kampungku sekitar tahun enam puluhan..zaman pop yeh-yeh le katakan..

Tuesday, February 1, 2011

Dua Kali Tertipu

Keputusan SRP kini PMR agak cemerlang bagi seorang pelajar di kampungku. Ayah dan ibu sangat gembira. Wang RM20.00  dibekalkan ayah untuk membeli buku Kajian Tempatan. Aku keseorangan melangkah kaki ke bandar diraja. Aku mengayuh basikal dan menaiki bot untuk sampai ke bandar diraja. Aku membeli buku Kajian Tempatan sebagai persediaan ke Tingkatan 4 Sains. Aku satu-satu anak kampung yang terpilih ke aliran Sains. Cita-citaku nak jadi seorang jurutera.
    Aku singgah berhenti rehat di hadapan sebuah hotel. Sedang aku berehat datang seorang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluhan dengan berpakaian comot dan matanya agak juling menghampiriku. Sikap mesra dan ramahku terus aku menegur orang itu. " Abang nak ke mana " tanya aku kepada orang itu. " Abang sedang menunggu lori ubi, hari ni abang dapat gaji" jawab orang itu yang cuba memikat hatiku."  Abang kerja apa" tanyaku lagi. "Abang kerja memunggah ubi kayu dari lori, itu sebab pakaian abang ni kotor" balas orang itu yang cuba meyakinkan aku.",  Abang ni ketagihkan rokok, adik ada duit RM3.00, abang nak pinjam sekejap, nanti abang dapat gaji, abang ganti dua kali ganda" orang itu menyambung perbualan dengan menawarkan wang berganda. Aku mula terpikat dan terus menghulurkan wang sebanyak RM3.00. Wang baki membeli buku Kajian Tempatan dan wang yang dipinjam orang itu tinggal RM12.50. Orang itu terus membeli sekotak rokok lalu menghisap rokok di hadapanku. "Buku apa tu adik " orang itu bertanya lagi. " Buku Kajian Tempatan" balasku. "Buku itu banyak di rumah abang, kalau adik pulangkan ke kedai, abang bagi percuma kepada adik, jom kita pergi ke kedai tempat adik beli tadi" usul orang itu tanpa bantahan aku terus mengekori orang itu. Kedai buku tempat aku beli tadi tidak jauh dari tempat pertemuan kami. Orang itu berjaya mendapatkan wang dengan memulangkan buku Kajian Tempatan. Aku nampak ada pertengkaran kecil antara taukeh kedai dengan orang itu. Wang itu dimasukkan dalam sakunya. Aku macam terpukau. " Adik jom kita pergi kedai basikal, abang ada janji dengan taukeh kedai nak belikan basikal untuk adik abang, adik ada duit sikit sebab abang nak bayar wang pendahuluan, adik jangan takut, abang ganti dua kali ganda" orang itu terus meminjam dan menawar ganti berganda. Aku terus percaya dan terus menghulurkan semua wang baki kepada orang itu. Sampai di kedai basikal, orang itu menyuruh aku tunggu di hadapan kakilima kedai dan dia masuk ke dalam kedai menghilangkan diri. Baru aku sedar, aku telah tertipu. Wang tambang untuk pulang menaiki bot terpaksa aku pinjam daripada seorang penjual roti yang sering datang ke kampung." Terimakasih abang Isa " aku mengucapkan terimakasih  kepada abang Isa yang menghulur wang 10 sen untuk tambang bot menyeberangi Sungai Perak. Perasaan sedih bercampur takut. Sedih kerana ditipu dan takut nanti aku dimarahi ayah.
     Aku pulang ke rumah memberitahu peristiwa malang itu kepada ibu dan ayah. " Keputusan SRP cemerlang tapi tak kenal orang baik orang jahat" ayah memarahiku. Aku mohon maaf kepada ayah dan ibu. Rakan-rakan karib ku Hot, Man, Hassan, Din, Asid, Puad, Murad datang ke rumahku yang turut merasa marah bercampur geram terhadap orang itu dan bersimpati nasib malangku. Keesokan pagi kami lapan sekawan ke bandar diraja mencari orang itu  tetapi tidak ditemui. Rupanya banyak orang yang tertipu sebelum ini hasil tinjauan kami. Awasi jika orang yang tidak dikenali yang cuba menghampiri, menawarkan sesuatu hadiah dan peluang atau cuba  berkenalan dengan kita. Mereka ada tujuan yang boleh memukau kita hingga kita lalai dan alpa yang mengakibatkan kita tertipu atau diperdaya sehingga boleh menyusahkan diri dan keluarga. Geram sampai ke hari ini di mana orang itu yang bermata belek,kulit gelap dan berbadan pendek...menghilangkan diri dalam kedai basikal..