Wednesday, February 2, 2011

Rendang Belalang

Hujan turun dengan lebat. Kilat sabung menyabung. Guruh gemuruh berdentum di langit. Para petani menanti hujan soyat.Apabila hujan soyat para petani akan turun ke sawah dengan menaiki perahu dan rakit buluh. Aku bersama kakak dan yop tidak melepaskan peluang turun ke sawah menangkap belalang. Kami membawa botol untuk mengisi belalang yang di tangkap. Para petani berkuwo bersahut-sahutan turun ke sawah. " Huuu...Moh..kita weh tangkap belalang, belalang dah basah kepaknya" kata yop kepada jiran di sebelah rumahku. " Huuu....Moh..moh yop, malam ni kita makan rendang belalang" balas Man jiran ku. Kami hidup berjiran seperti satu keluarga.
  Sampai di sawah kami berkejar-kejaran di kawasan sawah yang dipanggil cangkat dan kurang berair untuk menangkap belalang. Perahu dan rakit di tinggalkan di kawasan bertakung air. Lintah dan pacat sudah menjadi mainan kami. Tapi agak geli sedikit jika digigit lintah paya yang bersaiz besar dan panjang.Biasanya belalang yang kami tangkap adalah belalang beras, belalang kepak dan belalang rusa. Belalang beras bersaiz kecil. Belalang kepak bersaiz besar dan belalang rusa bersaiz sederhana. Belalang kunyit yang bersaiz besar  jarang ditemui di kawasan sawah.Belalang biasanya selepas hujan mudah ditangkap sebab kepaknya sudah basah dan sukar untuk terbang.
   Setelah penuh botol dengan tangkapan belalang.Kami terus pulang ke rumah dan menyerahkan kepada ibu. Man jiranku juga menyerahkan tangkapan belalangnya kepada ibunya.Ibu akan memasukkan air panas ke dalam botol yang dipenuhi belalang.Kesemua belalang habis mati. Ibu menuangkan belalang ke dalam talam. Kami bertiga berebut-rebut membuang kepak dan ketih belalang. Belalang yang menjadi togel diserahkan semula kepada ibu untuk dimasak supaya menjadi rendang belalang. Hoi...sedapnya redang belalang. Cubalah,  mana tahu satu hari nanti apabila makanan kita berkurangan mungkin kita kembali makan belalang sebagaimana berlaku di kampungku sekitar tahun enam puluhan..zaman pop yeh-yeh le katakan..

1 comment:

  1. ha..ha..RENDANG BELALANG...msih terbayang ketika selepas hujan...kita sama sama membawa botol kosong menuju ke bendang..... dan membuahkan hasil SEBOTOL BELALANG BERAS

    ReplyDelete