Friday, January 30, 2015

Pelamin Persaraan

Tinggal beberapa jam lagi aku akan menempuh alam persaraan.Persaraan wajib bukan pilihan.Apabila genap 59 tahun 11 bulan 29 hari usiaku, aku akan menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam atau guru besar di SK.Kati.Aku telah berkhidmat selama 35 tahun 8 bulan 10 hari sebagai seorang pendidik.10 tahun sebagai guru biasa dan selebihnya adalah sebagai guru besar.Aku berkhidmat sebagai guru biasa di SK Rambai Tujuh selama 2 tahun dan SK.Menora selama 8 tahun.Kemudian dinaikkan pangkat 2 hari sebagai PKHem SK Basia Felda dan sebagai guru besar pertama di SK Bongor,Gerik selama 4 tahun.SK Sg Siput(U) 6 tahun,SK.Manong 2 tahun,SK.Talang 9 tahun,SK.Bendang Kering 1 tahun dan selebihnya di SK.Kati.Aku menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 27.1.2015.Usiaku genap 60 tahun pada 28.1.2015.

Apabila membuka fb ,ramai kawan-kawan, kenalan dan bekas murid-murid mengucapkan selamat bersara dan selamat hari lahir.Aku terharu ada juga yang mendoakan kesejahteraanku menempuh alam persaraan. Lebih 200 yang suka dan komen dalam fb.Ada yang mengembalikan nostalgiaku semasa di awal aku menjadi guru.
"Terimakasih cikgu,kalau cikgu tak rotan saya mungkin saya tidak menjadi seperti sekarang".kata seorang murid yang sudah lama tidak ku temui."Cikgu telah mengajar saya di kelas malam,terima kasih cikgu".kata seorang lagi anak didikku yang telah mengikut jejak langkahku.

Penolong-Penolong Kanan dan guru-guru serta pekerja sedang sibuk membuat persiapan persaraanku.Aku tidak dibenarkan melihat pentas dalam dewan.Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan kepada aku.Aku ikut saja sebab ini persiapan terakhir bagi meraikan persaraanku."26.1.2015 cikgu akan belanja murid dan guru menikmati jamuan pagi".kata aku dalam perhimpunan pagi minggu kedua sebelum berakhir perkhidmatan ku."Cikgu akan hadiahkan sebuah basikal untuk murid-murid yang dianugerah tokoh nilam 2015".sambung aku lagi.26.1.2015 dilancarkan Program Nilam peringkat SK.Kati dengan gimik penyampaian sebuah basikal kepada cikgu Azmira dan 100 buah buku sigai darab dan sigai bahagi kepada murid Tahun 5 dan 6.

Aku memilih tema persaraanku " Segunung budi selangit kasih".Bukan budi aku dan bukan kasih aku tapi ada budi dan kasih orang yang pernah menabur jasa dan bakti dalam kehidupanku. Aku amat menghargai perjuangan mereka.Ibu,ayah,guru,pemimpin dan isteriku telah berkorban dan berjuang tanpa mengira masa dan tenaga dengan penuh kasih sayang  sehingga aku bergelar seorang pendidik.Tanpa mereka siapalah aku.

Tanggal 27.1.2015 jam 10 pagi cikgu Meor dan cikgu  Mohd Amin datang mengambil aku,isteri dan 2 anak lelaki dengan menaiki kereta khas.2 anak aku mengekori dari belakang.Sampai di laman perhimpunan aku disambut 2 anak comel mengiring aku ke dewan dengan paluan kompang dan dipayungi dengan payung kuning seolah-olah raja sehari.Kiri kanan jalan laluanku dengan barisan murid-murid SK.Kati yang melambai tangan hingga ke perkarangan makmal komputer.Dua pasang pasukan silat sending yang diketuai en.Azman yang merupakan salah seorang pekerja keselamatan SK.Kati bersalaman dengan aku.Aku berhenti seketika bersama isteriku memerhatikan persembahan pencak silat.Sampai pintu masuk dewan aku diminta memalukan gong sebagai tanda selamat sampai.

Dalam dewan ramai dif-dif kehormat,tetamu,rakan guru besar dan pengetua bangun menyambut kedatangan ku.Aku bersalaman dengan Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPN Perak Tn Hj.Mat Lazim bin Idris,YDH Toh Maharaja Indera Dato Hj Khairudin b. Hj Arshad obj 16 dan ketua 1 Lepas Perak,Encik Zairi penyelia sekolah rendah mewakli Ketua PPD Kuala Kangsar, Hj Arshad YDP MGB Perak dan Encik Zakaria YDP MGB KK.Aku melambai tangan kepada semua.Aku terus ke pelamin persinggahan.Kemudian dikipas dua puteri Tahun 6 seperti pengantin baharu.Lagu negaraku bergema.Kami menyanyi bersama-sama.

Selang beberapa ucapan aku diminta bersemayam di pelamin persaraan di atas pentas bersama isteriku.Aku diminta berucap.. agak panjang juga ucapan ku..aku sediakan hampir 7 halaman.Diakhirnya aku membaca untaian sajak yang ku cipta khas berdasarkan tajuk tema persaraanku..aku dendangkan sebahagian lagu kopratasa berjudul permata untuk isteri..penutupnya aku berpantun 6 kerat..

kalau ada sejarum patah
   jangan dibawa ke SK.Kati
      usah disimpan takut berkarat
kalau ada silap dan salah
   jangan disimpan di dalam hati
      mohon maaf dunia akhirat

Kek hari jadi pun dipotong, isteriku menyuapkan sepotong kek ke mulutku. hadiah menimbun begitu banyak aku terima.Jamuan tengah hari dihidangkan di khemah istimewa, sekali lagi seperti pengantin baharu.Nostalgia 35 tahun yang lalu kembali mengimbau.Esoknya 28.1.2015 hari jadi aku, diraikan sekali lagi bersama cikgu Mohd Amin yang dinaikkan pangkat sebagai PKKK SK.Temin dan Ustazah Jamilah bertukar ke SK Perempuan, Padang Rengas.Majlis ketiga persaraanku diadakan di Perdana Hotel Taiping.Segunung budi selangit kasih kepada semua yang meraikan persaraanku.Budi Tuan Puan rasa nak junjung.Kasih Tuan Puan tidak dapat dibalas,hanya Allah saja yang membalas jasa baik Tuan Puan.

Wednesday, January 7, 2015

Bah Naik Kolam Tenggelam

26.12.2014.Hujan renyai-renyai tidak berhenti-henti.Air Sungai Perak semakin naik.Malam beransur melabuhkan tirai.Aku tidak dapat melelapkan mata.Apa tidaknya berita televisyen,radio dan sistem pesanan ringkat terus memperingatkan aku supaya berjaga-jaga.Ini bermakna aku tak boleh tidur.Aku perlu mempastikan keselamatan isteri, anak-anak dan cucu-cucu.Anakku yang sulung masih dalam pantang.Aku menerima seorang cucu lagi.Aku terfikir jika berlaku banjir mengejut..macam mana..aku akan cuba menggunakan sampan yang terbiar sebelah rumah sewaku.Atau aku mengajak keluargaku naik kereta unser dan memecut ke sebuah bukit berhampiran rumahku.Sedang aku memikirkan musibah itu,aku tidak sedar mataku terlelap juga.

Keesokan pagi aku cuba meninjau di pekan Karai.Ramai orang berkumpul berhampir Jambatan Victoria.Memang air sungai semakin naik.Tiba-tiba telefon berdering dan aku meleret di skrin handphoneku.
." Helo assalamualaikum cikgu". "waalaikumussalam, ada apa Nasa", aku terus menjawab dan bertanya. " Cikgu kolam kita semakin dinaiki air,apa kita nak buat" tanya Nasa. " Cuba tenang,sikit lagi saya sampai,cuba cari orang yang boleh menjala ikan,cuba pakat dengan cikgu Syed"" Baik cikgu". Aku terus bergegas ke kolam ikan talipia milik Koperasi Kg.Bendang Kering.

Sesampai di kolam,sudah ramai ahli koperasi menunggu.Jalan raya sudah mula dinaiki air.Kereta aku terpaksa diletakkan di tepi jalan utama sebelum tiba di kolam.Aku terpaksa menumpang kereta cikgu Syed yang mampu meredah air.Apa lagi operasi menjala ikan diteruskan.Air terus naik.Ikan talipia yang diternak sebanyak 2080 ekor hanya dapat ditangkap lebih kurang 200 ekor.Ikan di bahagikan kepada ahli-ahli yang berdekatan di kampung.Ada yang dijadikan pekasam.Ada yang dijadikan lauk pauk untuk makan malam.

Kerugian pasti berlaku kerana apabila air naik banyak ikan yang keluar kolam.Selang beberapa hari aku datang semula ke tepian kolam.Aku cuba menabur makanan ikan tetapi tidak ada seekor ikan pun yang menyambar makanan.Ini bermakna ikan-ikan telah keluar dari kolam.Aku redha menerima bencana ini.Ahli-ahli koperasi juga perlu redha terhadap ujian Allah dalam musibah ini.