Wednesday, June 24, 2015

Main Pentas

Bila ramadan menjelma terasa sesuatu keseronokan datang dalam jiwaku dan kawan-kawanku. Man, Hasan,Hot,Puat,Din dan Doin telah lama  menunggu di pangkin halaman rumahku.kakakku telah membersihkan halaman rumah sebelum menjelang ramadan.Malahan tiada sehelai rumput pun tumbuh di halaman rumahku, habis dicangkul oleh kakakku..
 " Tam,Tam" panggil salah seorang kawanku dari halaman rumah."Tunggu", balas ku sambil menjenguk melalui tingkap rumah.Aku turun tangga. "Nak ke mana tu Tam", tanya ibu dari ruang dapur. "Apa lagi nak merayau-rayau ler tu", sampuk kakakku. " Ingat..hari ini puasa...jangan puasa yok-yok", sambung ibuku lagi. " Baik ler mak, Tam nak jumpa kawan di bawah, deme dah lama menunggu Tam", balasku dengan sopan.
Aku terus menghampiri kawan-kawanku yang berlonggok dan ada yang duduk di pangkin halaman rumahku. " Abang Bashir,abang Harun dan abang Bidi semalam dah main pentas di kampung sebelah hulu.Apa kata kita buat pentas dekat rumah acik Konek,".kata Hasan memulakan perbualan."Yer,yer..aku pun dengar semalam", aku mencelah.. "Rasanya boleh dekat laman rumah acik Konek sebab laman rumahnya luas, nanti  aku jumpa  acik Konek lepas ini", sambung Puat mewakili kampung sebelah baruh."Abang Bashir selalu buat cerita lakonan purbawara, kita nak buat cerita apa", tanya Hot." Kita buat nyanyian dan lawak jenaka", celah Din. "Kalau nak buat nyanyian kita buat macam apak aku", sambung Man." Itu persembahan pak tutuh". sampuk Doin sambil beseloroh. "Jangan kata pak tutuh kecil hati Man..apak dia ada pancaragam Puspa Dewi Bendang Kering", sambung Din lagi." Kalau gitu mari kita cuba main pak tutuh di bawah rumahku", aku mengajak rakan-rakan bermain pak tutuh yang bermain ala sebuah kumpulan gitar rancak yang sering aku bermain-main dengan kawan-kawanku.Drum dibuat daripada peti pengempuk padi dan tin minyak tanah, gitar dibuat daripada papan lantai dan talinya daripada tali nilan (nylon), alat genderangnya daripada botol, tin susu dan buluh.Kumpulan ini diberi nama ' The Star '.Apabila bermain, bergemoyaplah bunyi bising di bawah rumahku.Bapa,ibu, abang, kakak dan adik-adikku sudah lali dengan bunyi bising dan riuh rendah di bawah rumahku.
  " Berhenti sekejap, gitar kita ni tak cantik, apa kata kita buat gitar daripada kayu pokok pulai", usul Puat dalam riuh rendah kumpulan 'The Star'. "Di mana kita nak cari pokok pulai?", tanya Hot. "Ada dekat pancur, aku pernah tengok pokok pulai sebelah kawasan pancur di hilir kampung yang tidak jauh dari Batu Mat Riah", sambung Puat. Nama pancur itu berkemungkinan diambil daripada pancuran air yang keluar daripada Batu Mat Riah.
  Aku mengambil sebilah parang dan terus bersama kawan-kawan menebang pokok pulai di kawasan pancur.Kami bergilir-gilir menebang pokok pulai yang berbatang lempung (lembut). 
"Hoi bebudak, buat apa kamu tebang pokok pulai tu?", tegur tuan tanah Tuan Haji Abbas yang lalu berhampiran kawasan itu. " Pak Alang,kami tebang pokok ni,,nak buat gitar", kata aku kepada Tuan Haji Abbas. " Kamu me ijak ke tahu, pokok pulai ni,  biasanya tempat hantu berbuai", balas Tuan Haji Abbas.
" Hantu.., hantu..,hantu..", suara gementar aku dan  kawan-kawan.Habis semuanya lari lintang pukang.Tuan Haji Abbas tersenyum memerhatikan gelagat kami..Hajat kami hendak membuat gitar seperti sebuah gitar karen (eletrik) daripada kayu pokok pulai tidak kesampaian.Kami pun balik ke rumah masing-masing dalam keadaan letih dan kehausan.
  "Kemana kamu Tam berpeluh-peluh ni, tadi kan mak dah kata, hari ini hari kedua kita berpuasa, tahan ke puasa hari ini?" tanya ibu, sesampaiku di rumah." Itu nak cari jalan nak berbuka puasa ler tu", usik kakakku." Mak, tadi Tam dengan kawan-kawan pergi menebang pokok pulai Pak Alang Abbas, tengah menebang Pak Alang datang, dia bagi tahu pokok pulai tu tempat hantu berbuai, apa lagi kami pun lari ler mak", aku bercerita panjang dengan ibu. "Itu ler, lain kali nak tebang tu minta dulu pada tuannya...bulan puasa ni mana ada hantu..semua hantu sudah kena ikat", usik kakak lagi sambil menasihatiku." Betul kata kak kamu tu Tam, kerang ajak kawan-kawan kamu pergi minta maaf kepada Pak Alang", nasihat ibuku.
  Tekak yang kering aku cuba tahan untuk meneruskan puasa.Dengan perasaan malu bercampur takut, petang itu aku dan kawan-kawan pergi ke rumah Tuan Haji Abbas.."Hei..kawan-kawan,..kakak ku kata bulan puasa ni, semua hantu  kena ikat,kenapa kita lari tadi, sepatutnya kita terus tebang pokok pulai tadi", kata aku kepada kawan-kawan sambil menuju ke rumah Tuan Hj Abbas." Betul juga". balas Din. " Tapi aku tak berani, nanti lepas puasa, hantu itu cari kita", sambung Doin menakutkan juga kami.
  " Assalamualaikum Pak Alang", serentak kami memberi salam. "Waalikumsalam, oh..kamu yang menebang pokok pulai aku tadi, naik naik lah rumah Pak Alang", balas Tuan Haji Abbas sambil mempelawa kami naik ke rumahnya." Kami datang nak minta maaf pada Pak Alang sebab menebang pokok pulai Pak Alang tadi tidak minta kebenaran Pak Alang", rayu aku mewakili kawan-kawan."Tak Apa, lagi pun pokok pulai tu memang Pak Alang nak tebang, buat apa kamu me kayu pulai tu?", tanya Tuan Haji Abbas," Kami nak buat gitar Pak Alang", jawab Man ringkas." Oh..gitu..sebenarnya atas pokok tu tiada hantu,,saja Pak Alang cakap tadi supaya lain kali mesti minta dulu, kalau kamu me nak kayu pulai tu ambillah, Pak Alang benarkan dan apa yang berlaku Pak Alang maafkan dan jangan buat lagi yak" ."Terima kasih Pak Alang", balas aku dan kawan-kawan.Aku dan kawan-kawan meninggalkan rumah Tuan Haji Abbas. Hasrat kami hendak membuat gitar daripada kayu pulai tidak diteruskan kerana masa main pentas sudah hampir tiba.Aku dan kawan-kawan menggunakan gitar papan lantai yang sedia ada.
  Setelah mendapat kebenaran acik Konek, kami pun mendirikan pentas yang diperbuat daripada empat batang buluh aur, beratapkan plastik, berdindingkan guni dan berlantai peti pengempuk padi..Pentas dihiasi dengan lampu pelita minyak tanah. Selepas solat isyak kami bersama kumpulan "The Star" bergemoyap bermain pentas dengan nyanyian dan lawak jenaka.Ramai penonton dikalangan kanak-kanak.Main pentas ini berlaku di Kampung Bendang Kering sekitar penghujung tahun 60an..

Friday, January 30, 2015

Pelamin Persaraan

Tinggal beberapa jam lagi aku akan menempuh alam persaraan.Persaraan wajib bukan pilihan.Apabila genap 59 tahun 11 bulan 29 hari usiaku, aku akan menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam atau guru besar di SK.Kati.Aku telah berkhidmat selama 35 tahun 8 bulan 10 hari sebagai seorang pendidik.10 tahun sebagai guru biasa dan selebihnya adalah sebagai guru besar.Aku berkhidmat sebagai guru biasa di SK Rambai Tujuh selama 2 tahun dan SK.Menora selama 8 tahun.Kemudian dinaikkan pangkat 2 hari sebagai PKHem SK Basia Felda dan sebagai guru besar pertama di SK Bongor,Gerik selama 4 tahun.SK Sg Siput(U) 6 tahun,SK.Manong 2 tahun,SK.Talang 9 tahun,SK.Bendang Kering 1 tahun dan selebihnya di SK.Kati.Aku menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 27.1.2015.Usiaku genap 60 tahun pada 28.1.2015.

Apabila membuka fb ,ramai kawan-kawan, kenalan dan bekas murid-murid mengucapkan selamat bersara dan selamat hari lahir.Aku terharu ada juga yang mendoakan kesejahteraanku menempuh alam persaraan. Lebih 200 yang suka dan komen dalam fb.Ada yang mengembalikan nostalgiaku semasa di awal aku menjadi guru.
"Terimakasih cikgu,kalau cikgu tak rotan saya mungkin saya tidak menjadi seperti sekarang".kata seorang murid yang sudah lama tidak ku temui."Cikgu telah mengajar saya di kelas malam,terima kasih cikgu".kata seorang lagi anak didikku yang telah mengikut jejak langkahku.

Penolong-Penolong Kanan dan guru-guru serta pekerja sedang sibuk membuat persiapan persaraanku.Aku tidak dibenarkan melihat pentas dalam dewan.Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan kepada aku.Aku ikut saja sebab ini persiapan terakhir bagi meraikan persaraanku."26.1.2015 cikgu akan belanja murid dan guru menikmati jamuan pagi".kata aku dalam perhimpunan pagi minggu kedua sebelum berakhir perkhidmatan ku."Cikgu akan hadiahkan sebuah basikal untuk murid-murid yang dianugerah tokoh nilam 2015".sambung aku lagi.26.1.2015 dilancarkan Program Nilam peringkat SK.Kati dengan gimik penyampaian sebuah basikal kepada cikgu Azmira dan 100 buah buku sigai darab dan sigai bahagi kepada murid Tahun 5 dan 6.

Aku memilih tema persaraanku " Segunung budi selangit kasih".Bukan budi aku dan bukan kasih aku tapi ada budi dan kasih orang yang pernah menabur jasa dan bakti dalam kehidupanku. Aku amat menghargai perjuangan mereka.Ibu,ayah,guru,pemimpin dan isteriku telah berkorban dan berjuang tanpa mengira masa dan tenaga dengan penuh kasih sayang  sehingga aku bergelar seorang pendidik.Tanpa mereka siapalah aku.

Tanggal 27.1.2015 jam 10 pagi cikgu Meor dan cikgu  Mohd Amin datang mengambil aku,isteri dan 2 anak lelaki dengan menaiki kereta khas.2 anak aku mengekori dari belakang.Sampai di laman perhimpunan aku disambut 2 anak comel mengiring aku ke dewan dengan paluan kompang dan dipayungi dengan payung kuning seolah-olah raja sehari.Kiri kanan jalan laluanku dengan barisan murid-murid SK.Kati yang melambai tangan hingga ke perkarangan makmal komputer.Dua pasang pasukan silat sending yang diketuai en.Azman yang merupakan salah seorang pekerja keselamatan SK.Kati bersalaman dengan aku.Aku berhenti seketika bersama isteriku memerhatikan persembahan pencak silat.Sampai pintu masuk dewan aku diminta memalukan gong sebagai tanda selamat sampai.

Dalam dewan ramai dif-dif kehormat,tetamu,rakan guru besar dan pengetua bangun menyambut kedatangan ku.Aku bersalaman dengan Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPN Perak Tn Hj.Mat Lazim bin Idris,YDH Toh Maharaja Indera Dato Hj Khairudin b. Hj Arshad obj 16 dan ketua 1 Lepas Perak,Encik Zairi penyelia sekolah rendah mewakli Ketua PPD Kuala Kangsar, Hj Arshad YDP MGB Perak dan Encik Zakaria YDP MGB KK.Aku melambai tangan kepada semua.Aku terus ke pelamin persinggahan.Kemudian dikipas dua puteri Tahun 6 seperti pengantin baharu.Lagu negaraku bergema.Kami menyanyi bersama-sama.

Selang beberapa ucapan aku diminta bersemayam di pelamin persaraan di atas pentas bersama isteriku.Aku diminta berucap.. agak panjang juga ucapan ku..aku sediakan hampir 7 halaman.Diakhirnya aku membaca untaian sajak yang ku cipta khas berdasarkan tajuk tema persaraanku..aku dendangkan sebahagian lagu kopratasa berjudul permata untuk isteri..penutupnya aku berpantun 6 kerat..

kalau ada sejarum patah
   jangan dibawa ke SK.Kati
      usah disimpan takut berkarat
kalau ada silap dan salah
   jangan disimpan di dalam hati
      mohon maaf dunia akhirat

Kek hari jadi pun dipotong, isteriku menyuapkan sepotong kek ke mulutku. hadiah menimbun begitu banyak aku terima.Jamuan tengah hari dihidangkan di khemah istimewa, sekali lagi seperti pengantin baharu.Nostalgia 35 tahun yang lalu kembali mengimbau.Esoknya 28.1.2015 hari jadi aku, diraikan sekali lagi bersama cikgu Mohd Amin yang dinaikkan pangkat sebagai PKKK SK.Temin dan Ustazah Jamilah bertukar ke SK Perempuan, Padang Rengas.Majlis ketiga persaraanku diadakan di Perdana Hotel Taiping.Segunung budi selangit kasih kepada semua yang meraikan persaraanku.Budi Tuan Puan rasa nak junjung.Kasih Tuan Puan tidak dapat dibalas,hanya Allah saja yang membalas jasa baik Tuan Puan.

Wednesday, January 7, 2015

Bah Naik Kolam Tenggelam

26.12.2014.Hujan renyai-renyai tidak berhenti-henti.Air Sungai Perak semakin naik.Malam beransur melabuhkan tirai.Aku tidak dapat melelapkan mata.Apa tidaknya berita televisyen,radio dan sistem pesanan ringkat terus memperingatkan aku supaya berjaga-jaga.Ini bermakna aku tak boleh tidur.Aku perlu mempastikan keselamatan isteri, anak-anak dan cucu-cucu.Anakku yang sulung masih dalam pantang.Aku menerima seorang cucu lagi.Aku terfikir jika berlaku banjir mengejut..macam mana..aku akan cuba menggunakan sampan yang terbiar sebelah rumah sewaku.Atau aku mengajak keluargaku naik kereta unser dan memecut ke sebuah bukit berhampiran rumahku.Sedang aku memikirkan musibah itu,aku tidak sedar mataku terlelap juga.

Keesokan pagi aku cuba meninjau di pekan Karai.Ramai orang berkumpul berhampir Jambatan Victoria.Memang air sungai semakin naik.Tiba-tiba telefon berdering dan aku meleret di skrin handphoneku.
." Helo assalamualaikum cikgu". "waalaikumussalam, ada apa Nasa", aku terus menjawab dan bertanya. " Cikgu kolam kita semakin dinaiki air,apa kita nak buat" tanya Nasa. " Cuba tenang,sikit lagi saya sampai,cuba cari orang yang boleh menjala ikan,cuba pakat dengan cikgu Syed"" Baik cikgu". Aku terus bergegas ke kolam ikan talipia milik Koperasi Kg.Bendang Kering.

Sesampai di kolam,sudah ramai ahli koperasi menunggu.Jalan raya sudah mula dinaiki air.Kereta aku terpaksa diletakkan di tepi jalan utama sebelum tiba di kolam.Aku terpaksa menumpang kereta cikgu Syed yang mampu meredah air.Apa lagi operasi menjala ikan diteruskan.Air terus naik.Ikan talipia yang diternak sebanyak 2080 ekor hanya dapat ditangkap lebih kurang 200 ekor.Ikan di bahagikan kepada ahli-ahli yang berdekatan di kampung.Ada yang dijadikan pekasam.Ada yang dijadikan lauk pauk untuk makan malam.

Kerugian pasti berlaku kerana apabila air naik banyak ikan yang keluar kolam.Selang beberapa hari aku datang semula ke tepian kolam.Aku cuba menabur makanan ikan tetapi tidak ada seekor ikan pun yang menyambar makanan.Ini bermakna ikan-ikan telah keluar dari kolam.Aku redha menerima bencana ini.Ahli-ahli koperasi juga perlu redha terhadap ujian Allah dalam musibah ini.