Tuesday, January 17, 2012

Kehilangan Bicara

Salman yang begitu penyayang terhadap keluarga tidak mengaharapkan sebarang balasan.Sebagai manusia biasa Salman juga memerlukan sedikit imbuhan buat pengubat hati dan emosi.Salman terus membiarkan keadaan itu berlarutan. "Hendak merajuk siapa nak pujuk. Hendak meminta siapa yang simpati", hati Salman berdetik.Kata-katanya tersimpan dalam sanubarinya.Terpendam dan terpadam begitu sahaja.Hari ini,esok dan selamanya dapatkah Salman bertahan dengan membisu seribu bahasa.Pesan ibu kalau marah jangan dibalas dengan kemarahan,elok beredar atau buat sesuatu yang lain.Pesan bapa kesabaran kunci utama menjadi manusia penyayang. Pesan azimat daripada ibu dan bapa tetap menjadi tangkal kehidupan Salman.
Hari demi hari telinga Salman seperti ditulikan.Hari demi hari suara Salman seperti dibisukan.Dayuskah Salman seperti tunggul di tengah laman yang hanya sebagai penyeri tetapi tiada bau dan aura.Salman cuba melihat wajahnya dicermin. "Akukah itu dalam cermin, atau imej akukah di luar cermin", hati berbisik kepiluan.Entahlah tiada jawapan yang pasti. Atau ada jawapan tetapi tiada siapa yang mengendahkan jawapan itu.Kalau pun diberi jawapan, jawapan itu akan kembali menikam dirinya. Lebih baik Salman terus menyengap dan berdiam diri.
Salman tidak pernah menyuarakan isi hatinya baik kepada rakan mahu pun pakar motivasi.Salman yakin cahaya solat dan doa dapat mengembalikan ketenangan jiwa dan hati dalam mencari sinar dek kehilangan bicara.

No comments:

Post a Comment