Thursday, February 3, 2011

Musim Berikan

Air bendang yang bertakung selama enam bulan membolehkan ikan, udang, siput dan pelbagai hidupan air membiak dengan banyak. Ikan air tawar seperti haruan, keli, puyu,sepat,patung dan bujuk membiak di kawasan paya. Udang dan siput membiak di kawasan alur dan tepian bendang. Aku dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang ini untuk menahan taut dan memancing ikan di bendang. Sebelah petang apabila pulang dari sekolah aku dan kakak menaiki perahu mengail ikan di kawasan paya. Yop menahan taut di tepian bendang kerana ikan haruan akan berada di tepian bendang pada waktu malam. Umpan taut biasanya menggunakan anak ikan atau anak katak.Anak ikan atau anak katak yang masih hidup akan dicangkuk dengan mata kail di belakangnya supaya ia melompat-lompat dalam air yang boleh menarik perhatian ikan yang lebih besar. Kakak mengail puyu menggunakan umpan cacing atau udang.....
     Belum sempat malam ikan haruan mula menyambar umpan. "Wit,wit,wit,wit.." kata yop sambil meraduk dan mengejar ke arah taut yang sudah mengena. Ikan haruan itu bagaikan faham Bahasa Inggeris yang membawa maksud nanti,nanti .."wait,wait..". Taut yang sudah disambar ikan terhenjut-henjut dalam air sawah. Yop terus menangkap ikan haruan sambil mematahkan tulang di bawah kepala haruan. Keesokan pagi hampir semua taut yang ditahan yop disambar ikan haruan.
     Ibuku selepas solat subuh terus mengambil tangguk yang dibuat daripada buluh,kulit bertam dan rotan lalu pergi ke sawah menghala ke alur-alur yang terdapat dalam sawah.Ibu ditemani jiran yang turut menangguk udang  di aluran sawah. Aluran sawah lebih dalam daripada petak-petak sawah.Udang dan ikan berkumpul dalam aluran sawah. Apabila selesai menangguk udang ibu akan pulang ke rumah. Sampai di rumah kakak akan menyukat udang yang dipungut dengan menggunakan tin susu.Udang yang dipungut akan dijadikan lauk pauk dan selebihnya akan dijual. Satu tin susu udang akan dijual dengan harga 50 sen.Udang dibungkus dengan daun keladi.
    Apabila genap enam bulan air bendang akan dikeringkan kerana para petani akan memulakan tanaman padi. Empangan dihujung sawah akan dibuka jebaknya.Ayah yang bertanggungjawab membuka jebak empangan membuka satu persatu papan yang menahan air melimpah sebelah jebak.Orang kampung bersorakan apabila jebak empangan dibuka. " Hoi...moh.. kita weh ke bendang..jebak empang sudah dibuka Tok Pawang" kata salah seorang yang sedang menunggu ditepi sawah. Orang kampung turun ke sawah sambil membawa serkap,jala,tangguk, kurung batang,bubu, timba, golok, parang dan pelbagai alat menangkap dan menyimpan ikan. Apabila jebak diangkat, air sawah menjadi kering. Orang kampung berpesta disawah menangkap ikan. Ada juga yang disengat ikan keli. Meraung kesakitan. Inilah pesta yang dipanggil Musim Berikan dikampungku.

1 comment:

  1. Teman masih sempat merasa suasana begitu...ketika itu kita membuat tanaman padi sekali setahun.... sekali pandang bendang kita tu bak lautan yang luas...hinggakan nak menoreh getah didarat tu pun menaiki sampan...NOSTALGIA

    ReplyDelete