Monday, February 28, 2011

Budimu Tuan

Budi adalah akal. Akal membezakan antara manusia dan haiwan. Dalam diri haiwan tiada manusia tetapi dalam diri manusia ada haiwan.Kita lihat apa yang berlaku hari ini, kekejaman demi kekejaman. Mereka sanggup membunuh dan membuang bayi. Tiada perasaan belas kasihan. Rahmat sukar turun ke bumi.Hidup mereka lebih jahil daripada orang di zaman jahililiah.Di mana erti kemanusiaan. Di mana pertimbangan akal mereka. Itulah, bila nafsu mengatasi keupayaan akal manusia. Mereka ini tiada pegangan agama Islam yang kukuh.Takut dan mungkin malu pada masyarakat
    Perjalanan pulangku dari Kota Bahru ke Gerik masih siang lagi. Aku biarkan beberapa kereta memotong keretaku. Dua orang anakku, yang sulung baru berusia lima tahun dan yang tengah baru berusia dua tahun sedang nyenyak tidur di kerusi belakang.Anak-anak adalah anugerah Illahi yang sewajarnya kita belai dan pupuk dengan penuh kasih sayang dan dididik dengan akhlak yang baik.Isteri kesayangan di sebelah kiriku pun nyenyak tidur. Aku ditemani lagu-lagu dari cd yang ku pasang. Kadang-kadang aku pun rasa nak mengantuk tapi aku cuba lawan dengan mengunyah gula-gula. Aku pandu kereta dalam kederasan yang sederhana. Kereta, van dan lori ku biarkan memotong keretaku.
    Di pertengahan lebuhraya Jeli ke Gerik yang di kelilingi hutan dan gunung, aku lihat ada sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan dan seorang lelaki bersama keluarga  sedang melambai-lambaikan tangan. Aku perhatikan seorang lelaki dan seorang perempuan bersama  seorang anak kecil sedang meminta bantuan. Kereta, van dan lori yang memotong kereta ku berlalu tanpa memperdulikan lambaian mereka. Aku cuba kejutkan isteri dari tidurnya. " Da..... da...cuba tengok di hadapan tu, ada satu keluarga macam nak minta sesuatu, kita nak berhentike?" ujarku kepada isteri. " Jangan bang..takut-takut perangkap atau helah saja," nasihat isteriku." Tak pe le Da..niat kita nak tolong," aku menolak cadangan isteri.Waktu itu sudah jam 5.00 petang. Suasana dalam hutan mula beransur gelap.
     Aku memberhentikan kereta agak terkehadapan kedudukan mereka. Aku keluar dari kereta. Orang itu menghampiriku." Abang..tolong kami..tayar kereta kami pecah, tayar 'spare' pun tiada angin," orang itu merayu sambil menghulurkan tangan. Aku menyambut salamnya dan terus berkenal-kenalan. " Kalau macam tu, keluarkan tayar 'spare' dan kita pergi pam di pekan Gerik, anak dan isteri Mat naik sekali kereta saya" ujarku mempelawa Mat dan keluarganya. Kami ke pekan Gerik dalam keadaan berempit-rempit. Apabila sampai di pekan Gerik, tayar yang dibawa bersama diisikan angin . Isteri dan anak-anakku bersama isteri dan anak Mat terpaksa menunggu kami di masjid jamek pekan Gerik.Maghrib hampir tiba. Kami solat maghrib di masjid jamek pekan Gerik.
    Aku dan Mat kembali ke tempat kereta yang kami tinggalkan di tepi lebuhraya timur barat. Waktu itu suasana keliling sudah gelap gelita. Aku terpaksa menyuluh dengan mengguna lampu keretaku ke arah kereta Mat supaya Mat dapat memasang tayar keretanya.Perasaan takut mula timbul, maklumlah di tengah hutan rimba binatang buas seperti harimau dan gajah mungkin boleh datang mencari mangsanya. Petua orang tua-tua masih tersimpan dalam benakku, "apabila berada dalam hutan rimba jangan sekali-kali bercakap besar atau mempermainkan kata-kata yang ada hubungkait dengan binatang buas, terutama sang gajah."
    Tayar kereta Mat selamat dipasang. Kami kembali semula ke pekan Gerik. Mat dan keluarga sangat gembira dan mengucapkan terimakasih atas pertolonganku. "Terimakasih bang..ambillah sedikit duit minyak ni," Mat menghulurkan salam sambil menghulur sejumlah wang. " Sama-sama..tak perlu duit ni..ini pertolongan ikhlas dari saya," balasku sambil mengembalikan sejumlah wang yang diberikan kepadaku. " Hari ni saya tolong Mat..mana tahu satu hari nanti Mat pula akan tolong saya," balasku. Isteri Mat bersalaman dengan isteriku. " Terimakasih kak" kata isteri Mat. " Sama-sama..hati-hati dijalanraya." nasihat isteriku. Mat dan keluarganya meninggalkan kami untuk pulang ke Kelantan.
    Selang beberapa tahun,sewaktu aku membawa isteri ke sebuah klinik swasta di Taiping.Tiba-tiba datang sebuah lori dari arah hadapan mengeluarkan seketul objek ke arah cermin keretaku. Rupanya seketul batu yang terpelanting menimpa cermin keretaku. Apa lagi  habislah pecah berderai cermin keretaku. Aku masih ingat pesan bapa mertuaku, "kalau pecah cermin jangan buka tingkap nanti kaca yang halus akan masuk ke dalam kereta". Lori yang membawa batu itu, terus berlalu begitu sahaja.Aku membawa kereta perlahan-lahan dan berhenti di sebuah gerai menjual durian di Changkat Jering. Penjual durian memerhatikan gelagatku. " Apa kena dik..cermin pecahke?" tiba-tiba penjual durian bertanya lalu menghampiriku." Ye..bang, tadi saya berselisih dengan lori membawa batu, seketul batu jatuh ke cermin kereta saya....bolehke abang tolong..saya nak bawa isteri ke klinik swasta di Taiping..isteri saya ni turun darah," rayuku kepada penjual durian. Aku bersalaman dan berkenal-kenalan dengan penjual durian.Penjual durian membahasakannayn dengan panggilan abang Lan." Oh..kalau begitu..kereta adik tinggal di sini, nanti abang gantikan cermin..adik dan isteri adik saya hantar ke klinik," balas abang Lan yang bersimpati terhadap nasib malangku.Aku dan isteriku dihantar abang Lan ke klinik swasta di Taiping dengan menaiki van duriannya.Hujan turun dengan lebatnya petang itu.
     Tepat jam 4.00 petang ,isteriku selamat mendapat rawatan diklinik swasta dan abang Lan pula selesai memasangkan cermin keretaku di sebuah bengkel kereta. Aku membayar semua bayaran kepada abang Lan berdasarkan resip yang diberikan kepadaku.Aku bersalaman dengan abang Lan sambil menyelitkan sejumlah wang untuk dihulurkan kepada abang Lan sebagai wang sagu hati kepada abang Lan. " Tak perlu adik..hari ni hari adik..mana tahu satu hari nanti hari abang pula, pertolongan abang ni  ikhlas" Abang Lan menolak sumbanganku.Aku dan isteri mengucapkan terimakasih selangit kepada abang Lan yang begitu mulia hatinya. Budi baik abang Lan tetap dikenang selama-lama.Budimu Tuan rasa nak junjung.

1 comment:

  1. Dari Daik pulang ke Daik
    Sehari-hari berkebun pisang
    Budi baik dibalas baik
    Dalam hati dikenang orang

    walaupun kita tak pernah mengharapkan balasan...
    Tapi...tuhan ketemukan disaat kita memerlukan

    ReplyDelete